Wednesday, August 24, 2011

Apabila Bulan Terbit Pagi .....

Assalamualaikum wr wb.,

Untuk beberapa hari lagi kecerahan Ramadhan akan terus cerlang sebelum mengawa pecut pada pagi Isnin, 29 Ogos 2011, kira-kira jam 11.05 pagi. Insyaallah, mengikut sunatullah, kitaran Ramadhan melalui fasa Anak Bulan (Hilal) akan bertandang semula 11 purnama lagi. Hari ini (tanggal 25 Ogos 2011, hari Khamis bersamaan 25 Ramadhan 1432), Bulan sudah melepasi fasa suku ketiga. Jika pada awal bulan Ramadhan lepas, bentuk sabitnya membesar ke arah timur, fasa akhir ini menunjukkan bentuk sabitnya mengecil ke arah timur pula. Kohor sehari kohor kecik, menepati sunatullahnya sebagaimana maksud firman Allah SWT dalam al-Quran (36:39), ... dan telah Kami tetapkan bagi Bulan manzilah-manzilah, sehingga kembalilah ia sebagai bentuk tandan yang tua .... Malam ini (Khamis malam Jumaat) bersamaan malam 6 likur, Bulan terbit sekitar jam 4.00 pagi esok di Kuala Terengganu. Pagi 7 likur (pagi Sabtu), Bulan tubik jam 5.00 pagi , pagi Ahad Bulan tubik jam 5.58 pagi dan seterusnya pada pagi Isnin (29 Ramadhan), Bulan akan terbit kira-kira 10 minit sebelum Matahari terbit. Kita akan dapat melihat Bulan sabit tua Ramadhan 1432 buat kali terakhirnya pada pagi 28 Ogos 2011 (pagi Ahad). Weeh ….. Bulang dah tubik pagi .... .weeh. Apa maknanya ini? Bulan Ramadhan hendak meninggalkan kita, tiada apa dapat menghalangnya ..... Tuan-tuan guru telah mula membacakan doa, ’Ya Allah pertemukan kami dengan keberkatan dan kemuliaan Ramadhan pada tahun akan datang, pertemukan kami dengannya lagi ya Allah, pertemukan kami dengannya bersama-sama kedua ibu bapa kami, kaum kerabat kami, para sahabat kami, dengan penuh keimanan, kesihatan dan kemurahan rezki .... semoga Allah pertemukan kita lagi dengan bulan yang penuh berkat ini, InsyaAllah.

[Perkataan likur merupakan istilah etnomatematik Jawa bagi nombor selepas 20 yang biasanya digunakan bagi tarikh. Dalam budaya Melayu, perkataan likur biasanya dikaitkan dengan sepuluh malam terakhir bulan puasa. Dari segi semantiknya, istilah ini dapat dikaitkan dengan perkataan, lailatur qadr, yang disingkatkan menjadi laiqadr, kemudian mengalami evolusi menjadi liqadr dan seterusnya menjadi likur, tapi pastinya tidak sama dengan keropok lekur atau Mengabang Lekor.....].

Ada isu mengenai umur Anak Bulan dikatakan tidak cukup di Sabah dan Sarawak tetapi di semenanjung Malaysia, nilainya melebih 8 jam. Tidak kuasa hendak membebel banyak hal ini, saya serahkan isu ini dijawab oleh para alumni Sijil Falak UniSZA. Entah siapa ‘anak jantan’ alumni Sijil Falak yang akan menyahut cabaran saya supaya menjawab isu ini dalam facebook. Setiap kali penentuan Aidil Fitri, ada khabar angin dan ada sentimen mengenai isu penetapan tarikh. Bermakna penyebaran ilmu falak kepada masyarakat awam belum berkesan sepenuhnya. Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi UniSZA lebih menekankan pendidikan falak secara formal dengan sasaran kepada karyawan falak dan pelajar. Soal pendidikan kepada masyarakat sepatutnya dimainkan oleh pihak berkuasa agama negeri-negeri. Mungkin apa yang mereka sudah buat belum mencukupi. Masyarakat makin terdedah dengan maklumat, tanpa tapisan atau menyesuaikannya dengan ‘hukum tempatan’, sesuatu isu boleh semabo. Maka ramailah ahli falak yang mula mengeluarkan kenyataan sesedap dan secukup rasa ….

Selamat menghayati hari-hari terakhir ramadhan, sebelum kita menghantarnya pergi di ‘dermaga bisu ….’. ’Ya Allah pertemukan kami dengan keberkatan dan kemuliaan Ramadhan pada tahun akan datang dengan penuh keimanan, kesihatan dan kemurahan rezki .... ‘. SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI kepada sanak saudara, sahabat handai dan pelajar-pelajarku yang sejuk mata memandang ……..

1 comment:

  1. Entah siapa ‘anak jantan’ alumni Sijil Falak yang akan menyahut cabaran saya supaya menjawab isu ini dalam facebook?.... hehehe cikgu ni anak jantan yg cikgu maksudkan... bolehlah klik link ini http://albelurani.blogspot.com/2011/08/isu-raya-1432h.html...

    ReplyDelete