Sunday, September 12, 2010

Ramadhan Mengawa Pecut

Assalamualaikum wr. wb. Selamat Menyambut Hari Raya dengan doa, ‘semoga Allah pertemukan lagi kita dengan Ramadhan tahun hadapan dengan keimanan yang berkekalan, kesihatan dan kemurahan rezki ..... ‘.

Sebagaimana dilaporkan, sebahagian besar negara Islam merayakan Aidil Fitri 1431H pada hari Jumaat bersamaan 10 Oktober 2010. Ada antara negara berkenaan, bulan Ramadhannya mengandungi 29 hari dan sebahagian lain 30 hari. Kedua-dua bilangan hari ini adalah cukup mengikut neraca Allah swt, sebagaimana firmanNya dalam al-Quran (1:185 – sebahagian), ‘ .... dan Dia tidak menghendakki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu mencukupkan bilangan puasa (satu bulan Ramadhan) serta kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur'. Ayat ini menjadi dalil kita menyambut hari raya selepas berpuasa satu bulan (sama ada 29 atau 30 hari). Manakala kaedah kita membesarkan Allah lanjutan tanda bersyukur kerana menyempurnakan ibadat puasa, antaranya dengan bertakbir..... Supaya tidak menimbulkan kekeliruan, maka lafaz takbir khusus ini dinamai takbir hari raya. Ya, lafaz takbir hari raya mengingatkan kita tentang kebesaran Allah, pengulangan tauhid kepada Allah swt serta memuji Allah swt kerana ihsanNya memberi pertolongan kepada hambaNya dan kekuasaan Allah swt juga yang menewaskan musuhNya dengan sendirinya atau dengan caranya. Ada yang menitik airmata kerana menghayati lafaz dan irama takbir ini yang mendayu-dayu ini mengikut versi irama Melayu. Walau bagaimanapun, para ulama telah mengingatkan tentang nilai air mata yang menitik ini. Jika disebabkan terkenang kampung halaman, mengimbau kenangan bersama sifulan dengan sifulan atau kekesalan tidak dapat beraya sakan, air mata ini tidak ada nilai. Biar bergantang air mata yang tubik, tak berguna walau seseng habuk .... Air mata yang bernilai adalah air mata yang menghayati kebesaran Allah, mengharapkan keredhaanNya, kesan bermuhasabah diri dan keralatan kerana gagal menepati petunjuk utama prestasi (KPI) Ramadhan 1431H.

Bulan Ramadhan yang dimulai dengan fasa hilal, berakhir dengan fasa hilal Syawal. Setakat blog ini ditulis (1 Syawal, jam 10 malam), Anak Bulan paling timur kelihatan di Negara Brunei Darussalam dan di Kuala Terengganu sendiri. [Menurut maklumat dalam laman sesawang ICOP, Anak Bulan juga kelihatan di beberapa bandar di Australia dan Marawi City, Selatan Filifina pada petang 9 Sept. 2010]. Walaupun keadaan cuaca di Kuala Terengganu tidak begitu baik, dengan awan setinggi 8 darjah. Tetapi Anak Bulan dengan fasa hampir 2 peratus ini telah kelihatan kira-kira jam 7.00 petang (12 minit sebelum Matahari terbenam) untuk beberapa saat dengan menggunakan teleskop ETX-70 mm. Walau bagaimanapun, ketika waktu Matahari terbenam, kedudukan Anak Bulan ini sudah memasukki awan tebal. Selepas Anak Bulan Syawal, saban bulan kita akan cuba menjejakki Anak-anak Bulan (ahilal), tetapi Anak Bulan Ramadhan paling dinanti-nantikan, kerana Ramadhan adalah penghulu segala bulan. Bulan Ramadhan dengan segala kebesarannya datang dan pergi membawa tanda kegembiraan. Pada pagi Rabu (29 Ramadhan) lepas, sebagai penghulu segala bulan, fasa Bulan sabit tua Ramadhan sempat mengerling di ufuk timur sambil membisikkan bait berikut ......

Insan! Ingatlah!
Aku tidak punya kebesaran,
Aku makhluk Allah jua,
Gerak aku umpama zikir alam kepada Pencipta,
Tugas aku hanya as-sabab kepada manusia.

Insan! Ingatlah!
Aku tinggalkan sebelas lagi anak buah ku,
Semua mereka pasti bertamu,
Jika kamu anggap aku penghulu,
Layanilah mereka sebagaimana ku.

Insan! Ingatlah!
Jika hadirku telah mentarbiahmu,
Tunjukkan akal budi mu bersama anak buahku.
Jika Allah mengikat kejahatan kerana kehadiranku,
Jadikannya kebiasaanmu.

Insan! Ingatlah!
Aku cuma melampiaskan waktu,
Bergerak pada laluan seperti dahulu,
Aku akan bertandang lagi,
Menjadi tetamu sebahagian kamu ...
Terdendeng lagi di ufuk barat tempatmu.

Tapi, Insan! Ingatlah!
Tidak semua dapat menyambutku,
Ada antara kamu akan pergi dahulu .......
Insan! Ingatlah!
Ingatlah, pesananku,
Aku pergi dahulu .....

Sekian coretan untuk pesanan diri sendiri, untuk anak-anakku dan kepada para pelajarku yang sejuk mata memandang ........ Ingat! Ingatlah!

Baharrudin Zainal
Villa Kamilah
Sepetir Rendang, Gong Badak,
Kuala Terengganu.
Hajrat: 3 Syawal 1431H/12 September 2010

Wednesday, September 1, 2010

Weeh ..... Bulang Dah Tubik Pagi .... weeh

Jika diumpamakan bulan Ramadhan itu sebagai komet, Ramadhan kini sudah mencapai titik perihelionnya. Sebagaimana sifat komet yang meluncur datang dari pinggir sistem suria, begitu juga dengan Ramadhan yang datang dan pergi dengan kitaran tersendiri. Ketika komet menghampiri Matahari, debu-debu dan gas yang membentuk jasadnya terlerai kerana kepanasan Matahari, maka bersinarlah komet itu dan berjurailah ′ekornya’. Selepas perihelion komet bergerak keluar dari sistem suria dan akan datang semula mengikut tempoh orbitnya. Ramadhan 1431H, kini sudah berada pada titik perihelionnya. Untuk beberapa hari lagi kecerahan Ramadhan akan terus cerlang sebelum mengawa pecut pada petang 9 September nanti. Insyaallah, mengikut sunatullah, kitaran Ramadhan melalui fasa hilalnya akan bertandang semula 11 purnama lagi. Hari ini (tanggal 2 September 2010, hari Khamis bersamaan 23 Ramadhan 1431), Bulan sudah melepasi fasa suku ketiga. Jika pada awal bulan Ramadhan lepas, bentuk sabitnya membesar ke arah timur, fasa kali ini menunjukkan bentuk sabitnya mengecil ke arah timur pula. Kohor hari kohor kecil, menepati sunatullahnya sebagaimana maksud firman Allah swt dalam al-Quran (36:39), ′ ... dan telah Kami tetapkan bagi Bulan manzilah-manzilah, sehingga kembalilah ia sebagai bentuk tandan yang tua ...’. Mulai fasa suku ketiga juga Bulan akan terbit selepas tengah malam. Malam 3 likur, Bulan terbit sekitar jam 12.40 tengah malam di Kuala Terengganu. Malam 4 likur, kira-kira jam 1.30 pagi, malam 5 likur, jam 2.20 pagi dan seterusnya pada malam 7 likur Bulan terbit jam 4.30 pagi. Kita akan dapat melihat Bulan sabit tua Ramadhan 1431 buat kali terakhirnya pada pagi 7 September 2010 (Selasa). Weeh ….. Bulang dah tubik pagi .... .weeh. Apa maknanya ini? Bulan Ramadhan hendak meninggalkan kita, tiada apa dapat menghalangnya ..... Tuan-tuan guru telah mula membacakan doa, ’Ya Allah pertemukan kami dengan keberkatan dan kemuliaan Ramadhan pada tahun akan datang, pertemukan kami dengannya lagi ya Allah, pertemukan kami dengannya bersama-sama kedua ibu bapa kami, kaum kerabat kami, para sahabat kami, dengan penuh keimanan, kesihatan dan kemurahan rezki .... Ya, semoga Allah pertemukan kita lagi dengan bulan yang penuh berkat ini, Insyaallah.

[Perkataan likur merupakan istilah etnomatematik Jawa bagi nombor selepas 20 yang biasanya digunakan bagi tarikh. Dalam budaya Melayu, perkataan likur biasanya dikaitkan dengan sepuluh malam terakhir bulan puasa. Dari segi semantiknya, istilah ini dapat dikaitkan dengan perkataan, lailatur qadr, yang disingkatkan menjadi laiqadr, kemudian mengalami evolusi menjadi liqadr dan seterusnya menjadi likur, tapi pastinya tidak sama dengan keropok lekur atau Mengabang Lekor.....]

Saturday, August 21, 2010

SUBUH RAMADHAN YANG HENING ........

Alhamdulillah, kita sudah melepasi sepertiga dari bulan Ramadhan. Fasa ‘rahmat’ yang sudah meninggalkan kita dengan kelajuannya tersendiri. Tidak perlu dihitung, malam 1, malam 2, malam 3 dan seterusnya, kerana sunatullah ‘Bulan yang meniti manzilahnya sehingga di akhir peredarannya ....’ (maksud sebahagian ayat al-Quran, 23:39). Girang dan gemilangnya wajah Bulan di langit yang semakin membesar kerana akan mengadap ‘akan Allah’ menjelang purnama nanti. Setiap malam dalam perjalanan kita ke surau atau masjid untuk menunaikan solat isyak dan terawih, sudah pasti mata kita tertumpu kepada ‘wajah qamar’ ini yang kelihatan semakin jauh ke arah timur. Di waktu subuh pula, kita terpandang seketika kepada buruj Orion (disebut juga nama timangannya sebagai ‘bintang Kiblat’) yang terdendeng di pertengahan langit timur.

Memang subuh Ramadhan begitu mengasyikkan, begitu hening, sayup-sayup terdengar bacaan al-Quran dari pembesar suara masjid atau surau. Bukan satu masjid, tetapi beberapa masjid dari beberapa penjuru. Menjelang waktu imsak, sebahagian masjid melaungkan seruan ‘imsak! imsak! imsak’. Saya masih teringat skrip seruan ini dari Masjid Intan Zaharah, Dungun ( .... semasa berkahwin dengan orang Dungun dulu .... sekarang orang Dungun gak ...), tok bilal melaungkannya dengan skrip yang lebih syahdu ‘ ... Wahai kaum muslimin muslimat sekalian, sekarang masuklah waktu imsak, maka berhentilah kamu dari makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa ...’. Di Kuala Terengganu, keheningan subuh ini juga akan digegarkan dengan tembakan ‘bedil’ bagi menandakan tamat waktu bersahur. Agaknya tradisi ini hanya masih bertahan di Kuala Terengganu, sesuai dengan slogannya, ‘negeri cantik, budaya menarik....’. Memang telah menjadi budaya aktiviti ini dilakukan di Kuala Terengganu dan terus dipertahankan. Di Bandar Melaka (.... tanah tumpah darah ku ...), tradisi ini telah lama ditiadakan. Meriam ‘badek’ yang pernah dijadikan bedil, sekarang cuma hiasan di tangga masjid Kampung Hulu, Melaka. [Lihat catatan saya dalam buku Ilmu Falak, ’pipi’ 132]. [Istilah pipi ialah muka surat atau halaman mengikut perbendaharaan bahasa Melayu lama]. Tembakan ‘bedil’ di Kuala Terengganu tidak lagi menggunakan meriam, sebaliknya senapang khas yang dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta dengan pengawasan pihak polis Terengganu. Aktiviti ini mendapat mandat dan biaya dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM). Terasa nak ajak pelajar-pelajar pergi tengok bagaimana aktiviti tersebut dilakukan, tetapi macam-macam hal yang menghalang .... hakaza wakaza ... Dari tempat saya di Gong Badak (kira-kira 15 km dari tempat pelancaran bedil), bunyi bedil sebelah pagi boleh kedengaran, tetapi bedil waktu berbuka jarang sampai ke sini. Pada minggu lepas semasa berbuka puasa di Seberang Takir, bunyi bedil itu begitu kuat dan menggerunkan! Apa pentingnya bedilan ini? Penting lagikah di zaman serba canggih ini? Sebenarnya kaedah bedilan, bunyi siren, pukulan beduk atau pengumuman di radio adalah kaedah amalan petunjuk tanda waktu, bagi menzahirkan maksud al-Quran (2:187-sebahagian), " .... dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai malam ....". Pemerintah bertanggung jawab menetapkan kaedah bagi menetapkan sempadan ’ benang putih dari benang hitam’ ini, dan hamba rakyat perlu mematuhinya. Kaedah ini juga merupakan syiar terhadap kebesaran tanda waktu tersebut, malahan di bulan yang mulia, Ramadhan Kareem ... Menunjukkan penduduk empunya negeri akan melakukan ibadat puasa Ramadhan, syiar itu juga menunjukkan ada kegirangan yang berterusan. Kaedah ini jauh lebih baik dari pukulan kompang, gendang dan permainan alat muzik yang dilakukan oleh sekumpulan pemuda, konon-kononnya untuk mengejutkan orang bersahur. Di bandar Melaka, kaedah ini bukan tradisi, ianya bermula di satu kampung berhampiran, pemuda Kampung Morten ada menirunya, tapi tidak kekal lama. Lebih baik pemuda-pemuda ini dikumpulkan di masjid atau surau untuk mereka bersama-sama merebut fadhilat menjelang waktu subuh. Dikatakan bahawa fadhilat melakukan solat sunat sebelum subuh, ganjarannya ‘bagaikan isi antara langit dan bumi’, malahan pula pada bulan Ramadhan. Bukan seposeng atau dua poseng, ’isi antara langit dan bumi’. Di bulan Ramadhan, gandakan 70 kali .... Mana nak dapat? Jadi pilihlah, yang mana satu pilihan kalbu, wahai pemuda tiang agama ..... Di Terengganu, tradisi pukul kompang dan bergendang tidak diketahui kewujudannya ..... agaknya memang tidak disukai. Sama kesnya dengan patung besar dengan kepala menggeleng-geleng di kedai makanan segera untuk tujuan iklan jualan..... tapi ada anak kecil yang terjerit-jerit ketakutan, demam tak kebah .... Iklan tersebut tidak sesuai, kerana ianya bukan tradisi kita.


Selain bunyi bedil, suasana subuh juga disemarakkan dengan bacaan al-Quran dan terahim subuh. Semasa kecil di kampung halaman di Melaka, bacaan terahim subuh inilah yang menyegarkan kami sekampung dari keadaan ‘musam dan monyok’, dek kerana mengantuk ataupun kekeyangan bersahur, kepada keghairahan mencari-cari dari mana asal suara terahim subuh ini .... oppss dari surau rupa-rupanya. Tarikan utama bacaan ini kerana kemerduan suara pembacanya dengan irama qasidah dan keampuhan makna bacaan terahim subuh itu sendiri. Antara pembaca terahim subuh di kampung saya dahulu ialah Ustaz Mahmud (guru al-Quran saya), Noja Dollah dan Sifudin (semoga Allah rahmati mereka tiga beradik ini), begitu mendayu dan irama yang disesuaikan dengan makna bacaan itu sendiri. Doa dan puji kepada Allah swt yang mendayu-dayu dan merayu-rayu. Tentu bagi seorang muslim yang faham makna bacaan ini akan tersentap hatinya .... Berjalanlah dia berlenggang ke arah suara itu, sambil dia juga mengulangi akan doa dan puji itu dalam hatinya.

Ya Allah Yang Maha Pengasih, rahmatilah kami (diulang 3 kali)
Dan berikan keampunan bagi kami,
Dan maafkan kesalahan kami,
mohon tetapkan ketaatan kepada Mu,
dan tetap bersyukur akan Engkau.
Ya Tuhan yang hidup dan Tuhan yang berdiri dengan sendirinya

Cuba lagukan mengikut lenggok mana-mana lagu Melayu. Jika tidak jadi .... cuba qasidahkan pula mana-mana nasyid popular, rasanya belum dapat menandingi irama dan lirik terahim subuh itu .... Subuh Ramadhan yang hening juga membuatkan rasa rindu dengan kampung halaman, teringat arwah bonda dan nenda-nenda, terkenang ayahanda yang kesepian di sana ...... Inilah roda kehidupan ....... Ya Allah Yang Maha Pengasih, rahmatilah kami, berikan keampunan bagi kami, dan maafkan kesalahan kami ......

Wednesday, July 21, 2010

SEBELUM MALAM SEFU .....

Assalamualaikum, apabila kuliah bermula maka bertambahlah sibuk, bukan buat-buat sibuk. Tidak banyak subjek yang diajar pada semester ini, tetapi saya biasa menyediakan nota sisipan (power point) dan nota esei yang baharu. Kali ini dengan kemudahan P&P melalui talian (dinamai KELIP di UniSZA), secara beransur-ansur terpaksa juga digunakan. Tetapi saya masih meletakkan nota dalam laman sesawang Unit Falak. Selepas kuliah pada minggu kedua, seorang pelajar meminta saya luangkan masa beberapa minit untuk dia bincangkan artikel saya dalam akhbar mengenai gerhana Bulan separa pada 24 Jun lepas. Dia menunjukkan ayat yang saya tulis ..... dalam beberapa kitab fikah, dinyatakan hukum menjangka waktu berlaku gerhana pada asalnya makruh ..... pengaruh kuat ilmu nujum (saya maksudkan ilmu tanjim) dalam ilmu falak atau banyak aktiviti tahyul yang dilakukan masyarakat ketika dahulu ... Budak bertuah ini berkata, mengapa makruh? Tidak terus haram sahaja ...... Ya! Betullah tu ..... Saya tulis makruh, kerana si ahli falak tidak sedar ada pihak yang kemungkinan salah gunakan hitungannya ..... Dalam nota Uztaz Arwani Sali (guru pertama yang mengajar saya penggunaan rubuk mujayyab pada tahun 1987) yang saya semak, tercatat ... 'sekiranya dikhuatiri akan digunakan untuk aktiviti yang tidak sesuai, maka hukumnya makruh ...' Di sini, ahli falak tidak boleh lepas tangan begitu sahaja, mereka kena hati-hati dengan hasil mereka yang dikhuatiri akan disalah gunakan. Maka di samping memberi maklumat tentang sesuatu fenomena, ahli falak juga hendaklah mendidik masyarakat.

Isu kedua, bolehkah catatan mesyuarat (dinamai minit mesyuarat), menulis sesuatu yang bertentangan dengan peraturan atau undang-undang. Misalnya bagi satu mesyuarat Persatuan Bulan Sabit Merah (misal sahaja), catatan minitnya sebagaimana berikut; ... mesyuarat mengambil keputusan tidak akan memberikan pertolongan kepada mangsa banjir bagi tahun ini .... Aneh bukan? Jika terdesak ayat yang lebih baik ialah (contoh sahaja) .... mesyuarat mengambil keputusan untuk bersama-sama dengan pasukan penyelamat agensi lain dalam menghadapi banjir tahun ini. Walau bagaimanapun kekuatan pasukan yang akan dibentuk bergantung kepada sukarelawan yang ada ..... (contoh sahaja). Saya membaca minit yang bertentangan ini dalam satu mesyuarat yang amat penting bagi satu agensi negeri. Saya mempertimbangkan sama ada untuk senyap atau minta respon hadirin. Tapi jenis suka meriahkan suasana, saya lontarkan pertanyaaan 'apakah wajar catatan minit sebegitu rupa?'. Nampaknya ahli mesyuarat memberikan respon berbelah bahagi, ada yang senyap dan ada yang senyum dan ada yang ketawa kecil, pengerusi bersetuju supaya dipinda catatan dan akhirnya terpulang kepada pencatat atau setiausaha mesyuarat mencatatkannya ' .... lagu manapung ....'. Kita sentiasa belajar memperbaiki perjalanan mesyuarat, catatan mesyuarat dan tindakan susulan selepas mesyuarat. Keberkesanan organisasi kita banyak bergantung kepada tiga perkara ini. Apabila urusan mesyuarat tidak cekap, maka tindakan susulan juga tidak cekap.

Isu ketiga, ketika sebilangan pegawai-pegawai falak berbengkel di Besut kira-kira dua minggu lepas, saya mendapat satu sms bertanyakan, '.... GPS membaca utara apa? ...' Saya tidak melayaninya kerana mereka sedang berbengkel, mesti sibuk dengan bunyi ketuk besi, mesin kimpalan dan mesin potong besi ..... Seminggu kemudian, saya diberitahu isu sebenar dengan niat mereka hendak bertanya ketepatan penggunaan GPS. Saya sebenarnya pengguna pasif GPS. Di UniSZA, kami ada beberapa alat GPS jenis Garmin untuk tentu koordinat, tetapi lebih banyak digunakan dalam aktiviti mencari harta karun oleh pelajar. Dalam keadaan kerja yang statik di balai cerap, GPS kurang penggunaannya. Sudah pasti jawapan spontan saya, GPS pada peringkat awal membaca utara magnetik, sehingga tentu kedudukannya dikaliberasi oleh satelit, barulah GPS ini mungkin boleh menunjuk ke arah utara benar. Logik saya ini berdasarkan penggunaan teleskop, selepas dihidupkan dan kesan lokasi, utara yang dirujukkan ialah utara magnetik, sehingga dikaliberasi melalui penjajaran bintang, maka utara dirujukkan pula kepada utara benar. Keadaan ini betul selagi kita berada di stesen yang sama dan teleskop terus menjejak. Berbalik kepada isu 'utara mana yang tepat antara kompas dengan GPS'? Bergantung sejauh mana kita menjaga kompas tersebut dengan mendapatkan selisih sudut. Nilai ini biasanya diperolehi melalui perbandingan dengan cerapan Matahari. Masuk dalam bangunan, kompas ada masalah lain. Tetapi penjajarannya diperbaiki dengan pelan tapak bangunan atau semakan dengan 'garisan bayang terobos Matahari'. GPS? Saya kurang arif kaliberasi dalam bangunan, kecuali bangunan tersebut dilengkapi dengan 'repeater system', di mana GPS membaca isyarat satelit melalui perantara yang terletak di luar bangunan. Apakah GPS yang digunakan untuk penentuan kiblat dalam bangunan ada kemudahan ini. Jika tidak, mutu utara yang ditunjukkan oleh GPS sama dengan kompas. Jika GPS ini boleh membaca utara benar dalam bangunan, bolehlah digunakan untuk penentuan kiblat dalam bangunan.

Isu keempat mengenai malam nisfu Syaaban atau di Terengganu biasa disebut dengan 'malam sefu'. Mengikut takwim rasmi negeri, malam nisfu Syaaban bagi tahun 1431 ialah Isnin malam selasa. Dari segi ilmu falak, 'malam sefu' ini sebagaimana malam purnama lain. Tetapi dari segi aktiviti masyarakat, malam ini ada keistimewaannya. Dengan menolak ke tepi isu sama ada boleh ke tidak boleh sambutan malam nisfu Syaaban, bidaah ke tidak, kita ambil kebaikan amalan untuk diri kita sendiri. Semasa kecil (sekitar 1970-an) di Kampung Morten, malam nisfu Syaaban meninggalkan seribu ingatan. Bagi ibu bapa, pada petang 'hari nisfu', anak-anak dipersiapkan dengan baju yang lebih baik, katanya pergi ke 'bangsa (mungkin asalnya madrasah iaitu surau)', tukar buku baharu, ambil air Yaasin dan ada kenduri ...... Ingat malam nisfu Syaaban, ingat bacaan surah Yaasin tiga kali yang kena dihabiskan dalam masa kurang 40 minit, memang 'lintang kedak', gelagat orang ramai yang membaca. Tapi saya tahu, datuk saya (yang menjadi imam) tidak membaca tiga kali, dia baca sekali sahaja ..... dia membaca dalam keadaan matanya pejam, sesekali dia jeling kepada cucu-cucunya dengan isyarat (agaknya) jangan 'lintang kedak'. Tetapi malam nisfu Syaaban juga mengingatkan kita Ramadhan yang akan menjelang tiba, bersediakah kita? Kini, di kebanyakan tempat termasuk di kampung saya di Melaka, bacaan Yaasin tiga kali tidak lagi diadakan, sebaliknya dengan sekali bacaan atau dengan program ceramah sahaja. Begitu juga di Terengganu, malam nisfu Syaaban kini dipenuhi dengan aktiviti 'menjelang Ramadhan' .... dipenuhi dengan ceramah atau tazkirah ringkas. Pasar minggu malam nisfu Syaaban akan lebih lengang berbanding dengan malam lain, kuih muih di pasar Batu Enam atau simpang Panji Alam akan habis lebih awal pada malam nisfu Syaaban. Kenapa? Tempahan kuih dihantar terus ke surau atau orang tidak membuatnya kerana '...malam sefu ...'. Disiplinnya, sambutan nisfu Syaaban menandakan kegirangan berterusan menyambut tetamu Ramadhan di ambang pintu, semakin rancak doa yang sama diulang .... Ya Allah berkatilah kami di bulan Syaaban dan pertemukan kami dengan Ramadhan ....

Sekian yang dapat dilacakkan kali ini .....

Sunday, July 11, 2010

GERHANA RUBUK DAN MENJEJAK BARANG BERTANDUK ….

Ketika fasa Bulan purnama lepas (26 Jun 2010), kita telah dapat melihat gerhana Bulan separa. Berdasarkan siaran berita, fenomena ini tidak dapat dilihat dengan baik di Kuala Lumpur kerana cuaca yang tidak mengizinkan. Namun di pantai timur Malaysia, khususnya di Balai Cerap KUSZA, keadaan lebih baik. Fasa Bulan mula kelihatan kira-kira jam 7.32 malam dalam bentuk ‛sukuan’ bukan separa (lihat gambar dalam laman web Unit Falak UniSZA). Bentuk ini disebabkan awan tebal yang menutup sebelah kiri Bulan, sebaliknya sebelah kanan kelihatan dalam bentuk sukuan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, apabila berlaku gerhana Bulan, ada sedikit kekeliruan masyarakat tentang waktu berakhirnya gerhana. Kebanyakan maklumat dalam laman sesawang termasuk dalam takwim rasmi negeri menulis waktu gerhana berakhir jam 10.19 malam. Maklumat ini mereka perolehi dari sesuatu sumber lain yang mereka tidak tapis dan sesuaikan dengan tempoh tuntutan melakukan solat sunat gerhana. Fasa penumbra bukan lagi fasa gelap yang termasuk dalam tempoh tuntutan melakukan solat. Sepatutnya, pada 26 Jun lepas, waktu gerhana berakhir ialah jam 9.00 malam dan bukannya 10.19 malam. Ketika sedang sibuk menyaksikan fasa gerhana ini, saya juga terpaksa membuat penjelasan dalam telefon pertanyaan ini. Ini bukan persoalan menurut ‛hisab’ gerhana masih berlaku dan menurut cerapan langsung ‛gerhana tidak kelihatan’. Jelasnya, tuntutan solat sehingga fasa gelap disebabkan gerhana habis. Dalam keadaan tertentu jika kedudukan Bulan apogi dan Bulan berada hampir dengan sisi zon bayangan Bumi, bayang yang redup mungkin boleh kelihatan untuk tempoh beberapa minit lagi. Tetapi ianya tidaklah berpanjangan gelap. Sebaliknya cerapan nampak hampir tidak dapat membezakan antara kedudukan fasa penumbra dengan Bulan purnama yang sempurna.

Walau di manapun kita berada dan sesibuk macam manapun kita semasa melakukan cerapan, proses akhir seseorang pencerap muslim ialah ‛lil taabbudi ilallah’, menjunjung perintah Allah, merebut amalan ‛sunnah’. Rugilah mereka yang ketinggalan melakukan solat ini kerana kesibukan, kerana ketidakperasan, ketidaksiap sediaan dan berbagai lagi alasan. Malahan pernah dikatakan oleh seorang tuan guru (tak ingat dalam kuliah mana), kelebihan solat sunat gerhana ini lebih ‛muakadd’ dari solat idul Fitri dan Adha. Ini disebabkan gerhana Bulan dan Matahari kurang kekerapan berlakunya berbanding dengan solat sunat raya yang pastinya setahun dua kali. Kepada mereka yang kemudiannya rasa ralat, pesan saya ‛..... dema tunggullah 17 purnama lagi ....’ di mana gerhana Bulan seterusnya di Malaysia adalah pada 10 Disember 2011.

Pada 12 Julai ini pula, para peminat falak akan menjejak Anak Bulan Syaaban 1431H. Dengan sifat Anak Bulan kurang 16 jam, penjejakannya menjadi cabaran kepada setiap pencerap. Bukan setakat untuk menambah data empirik, bukannya menyusun rekod peribadi bagi cerapan termuda, tetapi bagi ‛ ..... lil taabbudi ilallah .....’. Khabarnya ramai pegawai falak negeri-negeri berkumpul di Pulau Perhentian, Besut. Tapi saya bersama pelajar saya akan terus berada di Balai Cerap KUSZA. Di sini ... cinta dan kasihku .... terhadap ilmu ini ku semai dan ku dilempiaskan ..... Terasa seronok (bukan syok sendiri) bila berada bersama sekumpulan pelajar ku yang setia .... bergilir-gilir menjejak menggunakan beberapa jenis peralatan yang terdapat di sini ..... bercerita kepada mereka petua menjejak ‛barang yang bertanduk ini’... Mereka juga kadang-kadang menjadi guru kepada ku pula apabila membetulkan sebutan dan ejaan Arab yang dimelayukan .... Bertuah punya budak ......

Cerapan Anak Bulan Syaaban kali ini juga menarik kerana Bulan ditemani oleh dua lagi cakerawala, planet Utarid 6 darjah lebih tinggi dari Bulan dan planet Zuhrah berada kira-kira 30 darjah di atas ufuk ketika Matahari terbenam. Aktiviti mencari dan menjejak Anak Bulan sebenarnya melatih pencerap beberapa kemahiran dan menimba pengalaman baharu. Keadaan pada setiap kali kenampakan pertama Anak Bulan tidak sama. Setiap kejayaan mencerap Anak Bulan termuda ini ada perkara baharu yang dipelajari. Bagi cerapan Bulan sabit tua Rejab 1431 H pada pagi Ahad lepas (11 Julai 2010), saya sendiri mengambil ikhtibar dua perkara. Pertama, gangguan psikologi sehingga saya terlupa membezakan perubahan kecerlangan Bulan ketika cerapan pagi dengan cerapan petang. Sebaik sahaja Bulan sabit dengan fasa 1 peratus ini kelihatan dengan teodolit (kira-kira jam 6.25 pagi) dan beberapa orang rakan mengesahkannya, saya terus mengendalikan teleskop dan binokular, terlupa untuk merakamkannya secara fotografik. Dalam igauan saya, tunggulah sehingga Bulan lebih cerah dan mudah merakamkan. Tapi saya terlupa sifat barang bertanduk ini, sebelah pagi semakin lama semakin malap, berbanding dengan cerapan petang yang semakin lama semakin cerlang. Nasib baik saudara Hirman sempat merakamkannya. Kedua, pengalaman menjajar teleskop menggunakan bintang altitud tinggi berbanding altitud rendah atau pertengahan. Bagi teleskop alta azimut, lebih baik menjajar menggunakan bintang altitud pertengahan .... Memang ada perbezaan panjang sabit Bulan ketika musim perigi ataupun apogi. Saya rasa bentuk Bulan pada petang ini hampir sama dengan bentuk Bulan termuda yang dirakamkan pada 4 Jun 2008 lepas ...... Walllah A'alam .....

Tuesday, June 22, 2010

SIBUK ATAU BUAT-BUAT SIBUK DAN GERHANA BULAN SEPARA

Sudah hampir empat bulan, tiada bahan baharu dalam blog ini. Kegagalan mendisiplinkan diri dalam menjalankan urusan seharian menyebabkan banyak kerja tertangguh atau terkeluar dari tarikh yang disasarkan. Inilah alasan saya. Kita boleh memberi berbagai alasan, seperi ‘saya terlalu sibuk dengan kerja rasmi’ atau sebenarnya kita buat-buat sibuk, kita juga jaja ayat ‘tiada masa’, ‘banyak kertas kerja nak kena siap’. Rumusannya, kita kurang bijak mengatur masa dan sentiasa hendak buat banyak perkara tanpa melihat ‘graf tempoh lawan beban’. Bagi penjawat awam termasuk pensyarah, kesibukan yang diomong-omongkan ini hendaklah dibuktikan dengan ‘hasil kesibukan’. Di Unit Falak, UNiSZA (dahulunya UDM dan dahulu lagi ialah KUSZA), kita mensyaratkan setiap ‘kesibukan ini dicetak’ sama ada dalam bentuk kertas teknikal, laporan, kertas mesyuarat, bahan ceramah dan sebagainya. Bahan yang didokumentasikan secara cetakan ini membolehkan protege memahami apa yang senior mereka buat, kelak akan terpahat niat ‘akupun nak buat juga’. Dalam semakan SKT pada sesuatu tempoh masa, hitung jumlah bahan ini untuk menunjukkan natijah kesibukan anda! Jika kuantiti ini tidak sepadan, anda sebenarnya ‘buat-buat sibuk’ dan ‘penyibuk kepada organisasi’. KPI yang dinilai dari ‘kesibukan yang dicetak’ ini lebih piawai berbanding dengan ‘KPI lisan’, orang Melaka kata ’cakap berdegau-degau, ekor penuh tahik .....’. Walaupun setiap organisasi terdapat mekanisme khusus memantau KPI (atau apa sahaja namanya), akhirnya terpulang kepada diri sendiri ....... pisau dan mentimun Cina di tangan kita ... nak potong serong ke, nipis ke atau lumatkannya .... ikut pandai lah ....

Bulan Jun ini memang saya betul-betul sibuk (bukan buat-buat sibuk), bagi krew Unit Falak UDM, mereka terlibat bersama-sama Jabatan Mufti Terengganu dalam urusan kajian semula tapak cerapan Anak Bulan, meneroka tempat cerapan baharu, aktiviti cerapan, kutipan data penyelidikan, mengendalikan bengkel kiblat dalam keadaan luar biasa (pada 14 - 17 Jun lepas) dan melayani pelawat yang berkunjung di balai cerap kami. Akhir minggu ini pula (pada 26 Jun 2010), cerapan gerhana Bulan separa. Walaupun tiada kutipan data saintifik, biasanya ketika gerhana Bulan, pelajar dan krew sibuk mengambil gambar, memahirkan penggunaan teleskop dan analisis spontan begitu dan begini. Penat cerapan gerhana Matahari pada 15 Januari lepas rasanya belum hilang lagi, kini berlaku gerhana lagi ....


Mengikut paparan takwim, selepas waktu maghrib hari Sabtu malam Ahad, 26 Jun 2010, bersamaan dengan tarikh 14 Rejab 1431H. Pada petang ini, Bulan berada pada jarak 395 000 km dari Bumi dengan pergerakannya menuju ke arah kawasan zon bayangan Bumi. Pada kira-kira jam 6.17 petang, bayangan Bumi mula menyentuh sisi sebelah kiri Bulan menandakan permulaan fasa gerhana Bulan separa. Pada waktu ini, Bulan masih berada di bawah ufuk bagi semua tempat di Malaysia, menyebabkan permulaan fasa gerhana separa ini tidak dapat dilihat. Menjelang waktu Bulan terbit di Kuala Terengganu dan kawasan-kawasan yang berhampiran dengannya, kira-kira jam 7.24 petang (bersamaan dengan waktu maghrib), bayangan Bumi sudah menyapu hampir 50% permukaan Bulan. Justeru itu, Bulan yang terbit pada petang hari ini ‛tidak penuh’ sebagaimana lazim sifat Bulan purnama. Bulan dalam keadaan separuh gelap kesan gerhana ini hampir pasti boleh dilihat dengan jelas jika keadaan cuaca mengizinkan.


Solat sunat gerhana Bulan (khusuf) di Malaysia boleh dilakukan sebaik sahaja selesai menunaikan solat fardu maghrib dan berlanjutan sehingga waktu gerhana berakhir, kira-kira jam 9.00 malam. Janganlah lepaskan peluang melihat fenomena gerhana Bulan kali ini dan melakukan solat sunat gerhana kerana solat ini adalah sunat muakad, yang amat dituntut. Tambahan pula fenomena gerhana Bulan ini berlaku pada waktu puncak, antara solat maghrib ke isyak. Meriahkanlah suasana ketika berlakunya gerhana ini dengan bacaan selawat dan tasbih serta bacaan solat sunat gerhana melalui corong pembesar suara daripada masjid-masjid. Agar awal malam ini menimbulkan suasana yang berlainan sesuai dengan tanda-tanda sunatullah ini. Amatlah besar hikmatnya kejadian dan peristiwa falak yang berlaku di langit rendah ini, supaya manusia dapat melihat dengan jelas tanda-tanda kekuasaan Allah SWT dan memanfaatkannya daripada segi rohani dan kajian saintifik .... Teringat pesanan Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman Ahmad al-Fathani semasa KUSZA menganjurkan cerapan gerhana bulan sekitar tahun 1990-an, 'tengok gerhana, istigfar, tasbih dan solat'. Bila teringatkan lunak suaranya membaca ayat-ayat surah dan pesanan dalam khutbahnya, terkenang zaman KUSZA dahulu ketika berlaku peristiwa begini, begitu semarak dan penuh nostalgia .....

Cukuplah rangkuman ayat untuk kali ini. Entah kapan selesai lagi ayat pertama ........, supaya boleh ku lacakkan dalam baris-baris yang membentuk perenggan yang kemudian ku rangkumkan menjadi rencana dalam laman blog ini .... Dalam pada itu cuba hitung ada berapa kali Jumaat lagi sebelum kita menyambut Ramadhan Yang Mulia ..... Dahulu kala jika di kampung halaman (di pinggiran Sungai Kampung Morten, Melaka), para jiran tetangga yang perempuan mula berbisik (tetapi budak-budak macam saya ni boleh dengar dan faham) ...... dah abis ganti puasa ke belum? .... Tetapi wanita masa kini kebanyakannya sudah menggantikan puasa mereka bersama-sama puasa enam lagi ..... Jadi, jangan cuba tanya mereka dah ganti ke belum .....

Monday, February 8, 2010

Al-Khatat Guruku Yang Mulia .....

MANUSIA MATI MENINGGALKAN WARISAN ILMU


Pada hari Rabu 3 Februari 2010 bersamaan 18 Safar, kira-kira jam 8 malam saya mendapat pesanan ringkas dari Saudara Rizanudin Nordin bahawa Ustaz Abd. Rahman Salleh telah kembali ke rahmatullah. Saya menghubungi keluarga beliau setakat untuk pengesahan dan ucapan takziah. Saya dimaklumkan jenazah almarhum akan dikebumikan di kampung asalnya, Padang Pat Amat, Pasir Putih. Agak terkilan kerana tidak dapat menziarahi jenazahnya kerana saya akan ke Melaka keesokkan harinya atas urusan keluarga yang tidak dapat dielakkan. Kali terakhir saya menziarahinya kira-kira satu bulan sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir. Keadaannya ketika itu amat uzur, daya ingatannya agak kurang, tetapi masih boleh bercakap agak lancar. Apabila mengadap beliau di katil perbaringannya, saya bisikkan kehadiran saya dan seorang rakan dari UDM. Beliau ingat dan menangis serta bertanya mana rakan-rakan lain. Antara yang disebutnya ialah Encik Hasan Ali dan Zul ‘budak Bari’. Saya katakan yang saya datang bersama Zul, selepas itu beliau masih bertanya lagi kenapa Zul tidak datang. Ingatannya kepada sebahagian kakitangan Balai Cerap KUSZA kerana keakraban mereka semasa almarhum menyandang kerusi karyawan tama Unit Falak mulai Disember 2004 sehingga Mac 2005.

Ustaz Abd. Rahman Salleh adalah satu nama besar ilmuwan falak daripada generasi ketiga selepas Syeikh Ahmad al-Khatib dan Syeikh Muhammad Nor Penambang (mufti Haji Nur). Dilahirkan pada tahun 1930, dan mendapat pendidikan agama yang awal di Mekah dan di Kelantan sendiri. Almarhum merupakan tenaga pengajar ilmu falak semasa ilmu falak menjadi sebahagian kurikulum dalam sekolah agama di Kelantan. Di samping menjadi penasihat bahasa Arab bagi buku teks yang diterbitkan bagi kegunaan sekolah-sekolah agama di Kelantan. Jawatan terakhirnya ialah pengelola peperiksaan sekolah agama di Kelantan. Namun almarhum Ustaz Abd. Rahman Salleh, seorang yang merendah diri, tidak suka menonjolkan diri dan ‘sering mengelakkan diri bersama orang yang anginnya tinggi’. Kerana itulah beliau kurang dikenali di luar negeri Kelantan, kerana almarhum tidak mahu bersaing. Kadang-kala almarhum lebih dikenali sebagai pakar penulisan khat berbanding dengan kepakarannya dalam ilmu falak. Antara nama samaran dan gelaran bagi setiap tulisan khatnya ialah Abu Faiz dan al-Khatat. Nama samaran Abu Faiz adalah ’rahsia yang terbongkar’ apabila saya menunjukkan kepada almarhum naskhah tulisan Nakula (Ustaz Abdullah Muhammad) bertajuk Bentuk Alam Yang Mengkagumkan. Pada halaman depan buku tersebut dihiasi dengan tulisan khat yang amat cantik. Terdapat catatan kecil nama samaran beliau pada celah-celah bunga kerawang tulisan khat tersebut. Sebenarnya kebanyakan tulisan jawi yang menghiasi muka depan buku-buku terbitan Pustaka Aman Press pada 1970-an, merupakan hasil tangan almarhum. Beliau pernah memenangi tempat ketiga Pertandingan Seni Khat ASEAN tahun 1989. Menurut Almarhum Tuan Haji Abd. Rahaman Hussien (bekas YDP Persatuan Falak Syarie Malaysia yang juga anak saudara serta anak murid kepada Ustaz Abd. Rahman Salleh), kebanyakan tulisan khat di Masjid Sultan Hassanal Bolkiah, Negara Brunei Darussalam merupakan hasil seni Ustaz Abd. Rahman Salleh.

Manusia mati meninggalkan nama dan ilmu yang diwariskannya, sama ada anak murid ataupun buku karya/susunannya. Koleksi buku ilmu falak almarhum yang dianggap sebagai karya besarnya ialah Qawaidul Miqat dalam tiga jilid. Jilid pertama terbitan tahun 1959 M, kedua tahun 1961 dan ketiga tahun 1963. Ketiga-tiga buku ini dalam bahasa Arab dan diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Kandungannya mengenai ilmu mikat dengan tumpuan kepada kaedah hitungan waktu solat dan arah kiblat menggunakan sukuan sinus dan jilid ketiga berkaitan hitungan takwim Islam menggunakan sistem munajimin rujukan buruj. Kajian teks yang saya lakukan mendapati, kaedah hitungan falak menggunakan sistem munajimin dengan rujukan buruj ini terdapat dalam Zij Ulugh Beg dan Zij Jadid Masyaallah. Anggapan dibuat bahawa almarhum merujuk dengan kedua-dua sumber ini atau menggunakan rujukan dua karya utama Alam Melayu yang lain, iaitu kitab Sullamum an-Nayyiraini Syeikh Abu Mansur al-Damiri dan Khulasatul Wafiyyah oleh Syeikh Zuber Umar al-Jailani. Kedua-dua naskhah Alam Melayu ini terbit sekitar 1930-an. Semasa almarhum berkhidmat sebagai karyawan tamu di KUSZA pada akhir 2004 sehingga Mac 2005, ketiga-tiga buku ini beliau (Qawaidul Miqat dalam tiga jilid) telah didokumentasikan semula dalam bahasa Melayu. Malangnya, saya dan rakan-rakan di Unit Falak KUSZA ketika itu tidak dapat membuat tindakan susulan. Sehinggalah pada bulan Disember 2009, apabila saudara Rizanudin Nordin dari syarikat Tinta Publishers menunjukkan kepada saya makalah terjemahan bagi kitab tersebut secara bebas oleh Saudara Rosli Husin. Saya juga difahamkan, anak almarhum telah meminta syarikat berkenaan mempertimbangkan penerbitannya. Apabila makalah terjemahan ini ditunjukkan kepada almarhum ketika itu, beliau mencadangkan nama saya sebagai pembaca kedua untuk menyemak kembali kandungannya supaya menjadi sebuah buku falak yang sesuai dengan keadaan semasa. Saya menerimanya dengan perasaan barbaur, ada rasa gembira kerana kepercayaannya dan ada rasa bimbang tak tercapai maksud al-Khatat. Namun saya menerima juga, apabila mengenangkan kegagalan kami di KUSZA mendokumentasikan naskhah terjemahan ini dahulu. Walaupun terjemahan oleh Saudara Rosli Husin agak baik dan saya lebih memahaminya, tetapi istilah dan contoh hitungan yang agak ketinggalan. Perkara pertama berkaitan pembaikian istilah boleh saya lakukan (sehingga kini, minggu pertama Februari 2010, pembaikian istilah telah selesai), tetapi membuat contoh hitungan agak berat bagi saya. Masa yang lama saya perlukan bagi tujuan ini, kerana kerumitan kaedah ambilan data dalam sistem munajimin rujukan buruj. Tajuk yang diberikan oleh pihak penerbit ialah Pengiraan Astronomi, Panduan Waktu, Arah dan Kalendar Islam. Tetapi saya akan meminta pihak penerbit mengubahnya kepada tajuk Ilmu Mikat, Hitungan Waktu dan Takwim Hijri. Walaupun saya dalam kesibukan menyiapkan dua buah buku pasca tesis doktoral, saya gagahkan diri juga menyiapkan pengeditan buku al-Khatat, terbitan Tinta Publishers. Insyaallah, saya cuba menyiapkannya dalam dua bulan lagi.

Al-Khatat merupakan ahli falak Melayu yang mewarisi kaedah penyampaian ilmu yang berkesan. Dalam beberapa perbincangan dalam bukunya, almarhum menggunakan bait-bait puisi Arab untuk menyatakan sesuatu maklumat. Misalnya untuk mengingati jujukan tahun-tahun kabisah dan susunan buruj. Begitu juga kemahiran seni khatnya dipaparkan dalam satu jadual falak yang menarik, bertajuk Jadwal Istiqraj as-Saah bil Rubuc Mujayyab tahun 1960. Jadual ini sebenarnya maklumat parameter hitungan sudut jam Matahari yang terdiri daripada nilai badc qutr, asal mutlak, nisf al-fadlah dan mail Matahari mengikut tarikh Afranji (Miladi) dan tarikh Buruj. Maklumat ini dipaparkan khusus bagi kegunaan negeri Kelantan, pengguna hanya perlu melakukan operasi aritmetik dengan sukuan sinus untuk mendapatkan waktu solat bagi negeri Kelantan. Di samping itu, almarhum juga didapati telah menyalin semula satu jadual faraid yang bertajuk Jadwal al-Mirathil as-Syar’i. Jadual ini mengandungi 30 jalur waris dengan nisbah faraid masing-masing. Saya lebih terpesona dengan kekemasan tulisannya khatnya berbanding catatan lain dalam bahasa Arab yang saya tidak fahami. Menurut catatan dalam jadual tersebut disalin dari al-Imam al-Kabeer as-Syeikh al-Jalil Bin al-Ha’im. Kedua-dua jadual ini (Jadwal Istiqraj dan Jadwal al-Mirathil) menjadi hiasan di ruang tamu rumahnya, di Banggol Kulim, Machang Kelantan.


Al-Khatat Haji Abd. Rahman Salleh dan isterinya amat berbudi terhadap tetamu yang bertandang ke rumahnya. Tidak kira siapa, baik pelajar, anak muridnya atau rakan taulan akan dilayan macam saudara sendiri. Saya difahamkan terdapat ramai pelajar yang telah datang membuat kajian biografi beliau atau belajar kaedah falak tradisional. Kewafatan al-Khatat menjadikan negeri Kelantan dan Malaysia kehilangan seorang ahli falak dan ulamak generasi akhir dengan jaluran warisan ilmu daripada Syeikh Ahmad al-Khatib. Namun buah ilmunya telah memberi manfaat kepada jaluran lain generasi karyawan falak pasca modenisasi. Semoga Allah merahmati rohnya, menempatkannya di kalangan orang-orang salih dan semoga Allah swt menjadikan warisan ilmunya sebagai wakaf jariah yang berpanjangan bagi almarhum.