Wednesday, October 28, 2009

SEMINAR BULANAN ETNOMATEMATIK RUMPUN MELAYU SIRI 3/2009

Etnomatematik ialah matematik yang mengambil kira budaya di mana matematik itu berkembang. Menurut Maria (1999), etnomatematik merupakan kaedah untuk menjelaskan atau memikirkan matematik dalam budaya dan mikro budaya di mana ahli-ahlinya berhubungan antara satu sama lain dengan menggunakan komunikasi biasa. Manakala Shaharir (2002) pula mendefinisikan etnomatematik Melayu sebagai matematik tinggalan tamadun Melayu yang diajar, diucap, diujar, ditulis, dipakai dan dibaca dalam bahasa Melayu dan mengikut nilai Melayu. Untuk menjelaskan pula tafsiran matematik Melayu pula, kupasan oleh Shaharir (2001) lebih menyeluruh, iaitu;

Matematik yang mengikut persepsi rumpun Melayu, termasuklah matematik yang diubahsuai kegunaan, konsep dan teorinya mengikut budaya Melayu yang luas, termasuk cara hidup, nilai, kepercayaan, ideologi, agama dan sebagainya …

Justeru, terdapat banyak khazanah ilmu Melayu yang perlu diterokai dan dipersembahkan kepada khalayak. Sehubungan dengan itu Kumpulan Penyelidikan Etnomatematik Rumpun Melayu (KuPELEMA) yang bernaung di bawah Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), UPM dengan kerjasama ASASI akan meneruskan Seminar Etnomatematik Rumpun Melayu Siri 3/2009, sebagaimana berikut;

Masa : 8:30 pagi-5:00 petang
Tarikh : 18 November 2009
Tempat : Bilik Mesyuarat Jabatan Matematik, Fakulti Sains, UPM
Sasaran : Mahasiswa, Tutor, Pensyarah, Penyelidik dan mereka yang berminat
Tiada yuran penyertaan dikenakan.

Untuk mereka yang berminat, pendaftaran boleh dilakukan menerusi borang dalam laman sesawang http://www.kesturi.net/archives/1068. Sebarang pertanyaan mengenai seminar ini bolehlah menghubungi Pn. Nur Sumirah Mohd Dom di talian 03-8946 8459 atau melalui email n_sumirah@putra.upm.edu.my atau Baharrudin Zainal (baharzai@udm.edu.my, tel 013-9802588).




Seminar Bulanan Etnomatematik Rumpun Melayu Siri 3

INSTITUT PENYELIDIKAN MATEMATIK

TARIKH: 18 November 2009
TEMPAT: Bilik Mesyuarat Jabatan Matematik, Fakulti Sains, UPM

MASA ACARA
0830 - 0900 Ketibaan peserta dan pendaftaran
0900 - 0915 Kata-kata Aluan
0915 - 1000 Slot 1
Mantik al-Ranyry
Oleh: Dr. Shaharir Mohamad Zain

1000 - 1030 Minum pagi

1030 - 1115 Slot 2
Sains Pelayaran dalam Manuskrip Bugis
Oleh: Encik Nor Azam bin Mat Noor

1115 - 1200 Slot 3
Kajian dan Pemuliharaan Artifak Jam Mathari di Masjid Serkam Pantai, Melaka
Oleh: Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer

1200 - 1245 Slot 4
Sistem Pengajaran Penaakulan Mantik di Kalangan Pelajar Pintar di Sekolah Rendah
Oleh: Puan Nor Sakinah Mohammad, UKM

1245 - 1430 Rehat/ Makan tengahari

1430 - 1515 Slot 5
Keberkesanan Dialog dalam Penyelidikan Etnomatematik
Oleh: Cik Nor Aishikin Adam

1515 - 1600 Slot 6
Perbezaan Model Bermatematik dalam Insuran Nyawa dan Takaful Keluarga
Oleh: Prof. Dr. Ismail Bin Mohd. UMT
1600 - 1615 Penutup
1655 - Minum petang dan bersurai

Sunday, October 25, 2009

ILMU FALAK SEBAGAI CITRA SAINS MELAYU

Pada bulan Ogos lepas, pihak UPSI ada menjemput saya untuk menyampaikan ceramah dengan tajuk yang dipersetujui bersama. Malangnya, saya tidak dapat memenuhi jemputan tersebut akhirnya kerana pindaan tarikh. Tajuk yang saya pilih ialah 'ILMU FALAK SEBAGAI CITRA SAINS MELAYU'. Berikut beberapa perenggan petikan kertas ceramah tersebut untuk dikongsi bersama .......


1. Pendahuluan

Sebelum kedatangan Islam orang-orang Melayu juga sudah memiliki ilmu ini dengan nama horasastera (daripada Sanskrit), dan ahlinya ialah hora, yang menjadi satu daripada pengelasan ilmu Melayu Campa (Alinor 2006). Istilah ilmu bintang lebih popular digunakan sebagai kesan pengaruh sains tamadun Islam sebagaimana huraian oleh Saliba (1994:57), iaitu;

Dalam kebanyakan karya falak tamadun Arab, astrologi dan astronomi dibincangkan di bawah tajuk cilm al-nujum, tetapi dipisahkan kepada cilm al-hay’a bagi ilmu falak sebenar dan cilm al-‘ahkam, bagi astrologi.

Penggunaan istilah ‘ilmu bintang’ juga dianggap selesa bagi orang-orang Islam Alam Melayu kerana ada hadis Nabi SAW yang bermaksud; ‘belajar kamu daripada ilmu nujum barang yang dapat petunjuk kamu pada segala kelam di daratan dan lautan kemudian berhenti kamu’. Ilmu bintang’ juga boleh dikategorikan sebagai satu daripada bidang dalam sains rakyat kerana masyarakat bukan setakat mengamalkannya tetapi mereka mempunyai keyakinan tinggi dan kepercayaan penuh terhadap keberkesanannya. Penggunaan kaedah-kaedah ‘ilmu bintang’ ini banyak terdapat dalam ilmu ramalan, ilmu hikmah, firasat dan ilmu tanam-tanaman. Justeru, ilmu pengetahuan rumpun Melayu, termasuk ‘sainsnya’ boleh dikaji melalui penjelmaan unsur-unsur sains matematik yang terdapat dalam pengamalan ini. Bersesuaian dengan tafsiran matematik Melayu oleh Shaharir (2001:84), iaitu:

Matematik yang mengikut persepsi rumpun Melayu, termasuklah matematik yang diubahsuai kegunaan, konsep dan teorinya mengikut budaya Melayu yang luas, termasuk cara hidup, nilai, kepercayaan, ideologi, agama dan sebagainya.

Untuk membataskan pencarian naskhah falak, skop geografi Alam Melayu dihadkan pada jangkauan geografi Alam Melayu yang meliputi kawasan pentadbiran politik Malaysia (dahulunya Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak) dan Indonesia (meliputi Sumatera, Pulau Jawa dan Borneo). Skop kawasan kajian ini memadai untuk mewakili keseluruhan fenomena di Alam Melayu dengan mengambil kira penjelasan Mohd. Taib Osman (1989) bahawa kebudayaan Melayu daripada kawasan-kawasan geografi ini mewakili amalan masyarakat Melayu seluruh Asia Tenggara amnya. Kajian-kajian sejarah juga menunjukkan selepas abad ke 15 M, pusat kekuasaan dan kebudayaan Melayu di Campa mula merosot dan digantikan dengan wilayah yang menjadi skop kawasan geografi dalam kajian ini.

Justeru itu, budaya intelek yang dibincangkan dalam makalah ini berkisar kepada amalan kerja ilmuwan falak Alam Melayu yang tinggi mutunya, dinilaikan selepas zamannya dan jasanya masih ‘disebut-sebut orang’. Alam Melayu pula ditakrifkan sebagai negeri-negeri yang mempunyai rumpun bangsa Melayu dan pernah membentuk kerajaan Melayu, termasuk gugusan kepulauan Melayu dan wilayah-wilayah dalam Thailand (seperti Patani), Kemboja dan Vietnam (seperti Campa). Alam Melayu pernah menerima beberapa pengaruh kebudayaan luar sebelum Islam, maka pengamalan sains, termasuk ilmu falak Alam Melayu juga mendapat pengaruh yang sama. Walau bagaimanapun, pengaruh Islam terhadap pembentukan tamadun Alam Melayu lebih kukuh. Para ulama bukan setakat menekankan pengamalan ibadat khusus, tetapi meliputi soal sosial, pendidikan dan pembinaan jati diri bangsa. Sesuatu yang baik dan berkekalan itu dikiaskan sebagai ‘tak lapok dek hujan, tak lekang dek panas’. Ciri-ciri istimewa inilah yang dicari oleh generasi pewaris untuk bekalan bagi menghadapi cabaran masa kini.


2. Ilmu Falak Melayu

Ilmu falak pada peringkat awal perkembangan Islam disebarkan sebagai satu keperluan ilmu fekah. Pendekatan aplikasi falak yang digunakan ketika ini terbahagi kepada dua, pertama melalui kaedah ijtihad dengan aplikasi sains rakyat dan kedua penggunaan kaedah falak bermatematik dengan penggunaan jadual falak (‘zij’) dan kaedah-kaedah hitungan. Ulama-ulama fekah mahir dalam kedua-dua pendekatan ini dan menggunakannya semasa menghuraikan aplikasi falak dalam ibadat. Kaedah ijtihad dengan aplikasi sains rakyat ini banyak terdapat dalam kitab-kitab fekah yang asas dan masyhur di Alam Melayu. Dari segi turutan, kaedah ijtihad terlebih dahulu mengisi keperluan dalam ilmu fekah berbanding dengan kaedah bermatematik. Begitu juga yang berlaku di Alam Melayu, apabila kaedah-kaedah ijtihad mendominasi keperluan ilmu fekah, berbanding dengan kaedah bermatematik. King (1986), menyatakan sebahagian kaedah-kaedah ijtihad yang digunakan pada zaman tamadun Islam merupakan sains rakyat. Perkara ini dapat difahami kerana para ulama yang menjelaskan tuntutan agama, sering menggunakan pemahaman masyarakat setempat untuk memudahkan pemahaman dan pengamalan mereka. Misalnya, masyarakat Arab sebelum Islam lagi, sudah menggunakan buruj-buruj bintang tertentu untuk petunjuk jalan. Apabila terdapat tuntutan menentukan arah kiblat selepas kedatangan Islam, kaedah sains rakyat ini digunakan. Manakala aplikasi sains rakyat pula meliputi pengetahuan asal masyarakat Melayu menggunakan tanda-tanda alam bagi sesuatu tujuan.

Kaedah falak bermatematik pula, termasuklah penggunaan aritmetik, trigonometri dan geometri. Terdapat juga kecenderungan ulama-ulama fekah yang besar seperti Ibn Hajar al-Haitami akan merujuk hasil kajian ulama hai’ah selain dari menggunakan kaedah-kaedah ijtihad. Misalnya dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj, Ibn Hajar al-Haitami merujuk kepada pendapat Imam Syubki dan Syeikh Kalyubi berkaitan aplikasi falak dalam ibadat. Kebiasaannya maklumat tentang kaedah-kaedah bermatematik dalam kitab-kitab fekah dinyatakan secara umum sahaja. Sebaliknya kaedah-kaedah ijtihad akan dibincangkan secara panjang lebar. Dalam Martin (1995:260), kaedah bermatematik ini dinyatakan sebagai ‘kaedah-kaedah baharu’. Penjelasan ilmu falak secara deskriptif matematik sebagaimana terdapat dalam kitab Siratal Mustaqim oleh Syeikh Nurudin al-Raniri pada abad ke 17 M, kitab Sabilil Muhtadin oleh Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari (1195 H /1780 M) dan kitab Hadiikil al-Salawati fi Khalawaati wal Jalawaati oleh Tok Kelaba al-Fathani pada tahun 1340 H/ 1921 M.

Kepesatan penggunaan kaedah falak bermatematik juga dikesan melalui kewujudan berpuluh-puluh judul naskhah falak berbahasa Melayu dan Arab yang terdapat di Alam Melayu, sebagaimana dinyatakan dalam Mat Rofa Ismail (1995) dan Wan Mohd. Shaghir Abdullah (2005). Selain itu terdapat sejumlah manuskrip falak di Muzium Kesenian Islam Malaysia dan di Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia. Kajian Kumpulan Penyelidik Etnosains, INSPEM, UPM, setakat ini telah mengumpulkan sejumlah 50 naskhah falak (manuskrip dan bahan cetak) sebelum tahun 1950an. Sebahagiannya sudah ditransliterasi, didokumentasikan serta telah dibentangkan dalam bentuk kertas kajian oleh penulis makalah ini. Antaranya, manuskrip M.S Malay D1 (Bodleian Library Oxford) bertarikh tahun 1175 H/ 1761 M, merupakan koleksi terawal ilmu falak Alam Melayu yang membincangkan takwim berasaskan ramalan, takwim buruj, musim dan kesannya terhadap perubahan bayang Matahari. Naskhah ini juga mengandungi kaedah penyusunan takwim yang berasaskan ramalan, takwim buruj dan takwim Hijri serta maklumat falak yang berbaur dengan pseudo sains. Namun dalam pseudo sains inilah sebenarnya terdapat ilmu yang dimiliki oleh masyarakat atau sains rakyat. Begitu juga dengan naskhah Sirajuz Zhalam oleh Syeikh Abbas Kutarang yang selesai ditulis pada tahun 1266 H/1849 M. Selain Syeikh Abbas Kutarang, ahli-ahli falak Alam Melayu yang berkarya pada tempoh masa yang sama ialah Syeikh Abdur Rahman al-Mashri, Syeikh Ahmad bin Mohammad Zain al-Fathani dan Syeikh Ahmad bin Abdul Latiff al-Minangkabaui al-Khatib. Daripada segi topik perbincangan pula, naskhah-naskhah falak antara 1900-an sehingga 1930-an kebanyakannya berkaitan dengan penggunaan peralatan Sukuan Sinus (Rubuc Mujayyab), yang merupakan hasil pengaruh langsung matematik sains tamadun Islam.

Pada awal 1900-an juga bermulanya penerbitan takwim tahunan secara bercetak, khususnya oleh Percetakan Ahmadiyah, Singapura. Menurut Baharrudin Zainal (2006a), perkembangan penulisan falak Alam Melayu mencapai kemuncaknya menjelang 1930-an disebabkan munculnya empat kelompok besar ulama falak Alam Melayu, iaitu kelompok Jawa-Betawi, Riau-Minangkabau, Fathani dan Melayu. Antara ahli-ahli falak yang menghasilkan karya mereka dalam tempoh masa ini ialah Syeikh Jamil Jambek, Haji Abdul Lathif Tambi bin Haji Muhammad Shalih al-Malakawi al-Tankirawi, Haji Nur bin Ibrahim, Haji Umar bin Ismail Nurudin, Syeikh Abdul Rahman Tok Gudang al-Fathanni, Haji Muhammad Salleh bin Haron Kemboja dan Syeikh Muhammad Tahir Jalaludin. Mereka telah membentuk satu kumpulan intelek yang menguasai aktiviti keilmuwan falak yang menjadi penghubung daripada zaman sebelumnya, serta mempengaruhi pula budaya intelek ilmu falak selepas zamannya.

Teks penuh menyusul pada jemputan ceramah berikutnya..... bila? Belum ada jemputan lagi.........

Saturday, October 24, 2009

Percubaan

Apabila Selesai Ayat Pertama .... dipilih kerana ayat ini membawa makna setelah selesai ayat pertama, maka jari jemari ini akan terus menerus mengetik papan kunci menyusun ayat seterusnya. Memang betul seperti dikatakan orang, sukarnya untuk memulakan ayat pertama. Ayat pertama menjadi pelacak kepada pembikinan dan penyusunan ayat seterusnya. Tulis dan terus menulis apa yang berada di minda kita. Setelah tulis, baca dan terus membaca apa yang ditulis tadi dan membayangkan pendengar mengkritik tulisan kita. Kita rasa kurang selesa, lalu mengubah laras ayat, istilah dan menambah baik ayat-ayat tersebut. Begitu juga dengan fakta yang ditulis dengan ayat sendiri, digambarkan olahan tersebut kepada pemahaman sendiri. Jika sendiri tidak faham, jangan harap pembaca atau pelajar anda hendak faham. Kadang-kala saya cuba menguji pelajar dengan satu atau beberapa perenggan rencana yang baru saya tulis, bagaimana pemahaman mereka. Jika mereka juga tidak faham, bermakna pesanan yang anda nukilkan dalam rencana tersebut belum difahami, maka kita terus membaca dan menulis, menulis dan membaca ............ Ingat, selesaikan ayat pertama terlebih dahulu .......