Friday, July 1, 2011

Kitab Israk dan Mikraj

Setiap 27 Rejab, umat Islam menyambut peristiwa israk & Mikraj dengan pengkisahan semula, tazkirah dan muhasabah diri. Tahun ini, tarikh 27 Rejab 1432 jatuh ketika waktu maghrib Selasa, 28 Jun. Ceramah Israk Mikraj bermula pada minggu ini dan berlarutan agaknya sampai pertengahan Syaaban nanti. Tetapi parti politik tertentu telah mencanangkan tajuk Ceramah Israk & Mikraj ini semenjak awal Rejab lagi. Tidaklah diketahui apa pengisiannya atau tajuk itu hanya merupakan tarikan kepada orang ramai. Secara sinis, ada yang menyatakan antara tanda Israk & Mikraj, apabila surau dan masjid akan dipenuhi jemaah sebelum waktu maghrib lagi. Sama juga keadaannya malam nisfu Syaaban. Begitulah istimewanya kedua-dua malam ini sekurang-kurangnya dari segi budaya orang Melayu. Istilah yang biasa digunakan oleh orang-orang tua kampung saya dahulu (... Kampung Morten ...) bukannya Israk & Mikraj, tetapi ‘Nabi Mikraj’, rasanya tidak salah. Semasa kanak-kanak, saya adik beradik akan diperintahkan oleh ayahanda supaya pergi ke ‘bangsa’ (loghat orang Kampung Morten bagi surau atau madrasah, mungkin juga singkatan dan slang bagi ‘madrasah’). Maka pergilah kami dalam keadaan ‘paksa rela’. Sebab utamanya kerana ceramah yang berlarutan sehingga lepas Isyak dan biasanya kami akan tersengguk-sengguk. Keduanya, perjalanan ke ‘bangsa’ yang terlalu jauh (walaupun jaraknya kurang 400 langkah), Kampung Morten era 1970-an dengan jalan yang becak, gelap dan aroma pada laluan belakang yang kurang menyenangkan. Biasanya yang membaca kisah ‘Nabi Mikraj’ ini ialah iman Masjid Kampung Hulu. Dalam pada itu, pondok mengaji di rumah saya (sebenarnya ruang beranda rumah asal nenek moyang) juga ada mengadakan bacaan ‘Nabi Mikraj’ mengikut masa pengajian Sabtu malam Ahad. Sasaran jemaah pondok pengajian ini ialah orang muda yang ‘hatinya kurang minat ke bangsa’ dan orang tua yang tidak mampu berjalan ke bangsa. Guru agama yang mengajar di pondok pengajian ialah Ustaz Mahmud Tambi Kadir yang mengajar bacaan Yaasin dan berzanji, manakala Ustaz Ahmad Abdul Wahab bagi pengajian hadis dan fikah. Waktu pengajian begitu singkat, tetapi panjang bagi kami kanak-kanak yang belum akhil baligh. Pengajaran bacaan Yaasin antara maghrib dengan isyak dan kuliah pengajian selepas isyak sehingga jam 10.00 malam (ketika itu zon waktu Malaysia +7.5 jam). Sebagai anak tuan rumah, kami adik beradik dipaksa dan terpaksa menjadi jemaah kedua-dua kelas pengajian. Yang seronoknya ialah sesi berzanji, di mana suara saya paling lantang antara kanak-kanak lain dan saya terus minat berzanji. Sekarang, apabila berzanji seorang diri di rumah untuk menghiburkan diri dan anak-anak, kenangan wajah setiap jemaah dan orang-orang tua yang telah pergi (pergi yang tidak akan kembali) terbayang di mata, sehingga kadang-kadang menitikkan air mata.

Berbalik kepada kisah bacaan bacaan ‘Nabi Mikraj’ oleh Ustaz Ahmad, beliau biasanya tidak menggunakan kitab, sebaliknya mengambil satu kisah dan dikupas dengan isu semasa, akidah dan persoalan hidup yang lain. Amat menarik cara penyampaiannya dan tidak keterlaluan dikatakan selepas beliau mula mengajar di pondok rumah saya dan di pondok Kampung Bukit China (rumah bapa saudara saya), nama beliau sebagai penceramah agama memuncak di Bandar Melaka. Bacaan ‘Nabi Mikraj’ ini biasanya akan bermula pada malam Ahad selepas 27 Rejab dan berlarutan sehingga akhir Syaaban, kira-kira enam minggu. Apabila meningkat dewasa jadi orang muda (selepas tamat universiti semasa berusia 22 tahun, pondok mengaji rumah saya sudah ditutup kerana jemaah yang berkurangan), saya pergi belajar agama di Masjid Kampung Hulu (satu minggu 2 kali sahajaKetika inilah saya berpeluang meneliti kitab yang digunakan untuk pembacaan ini, iaitu kitab Kifayatul Muhtaj, susunan Syeikh Dawud al-Fathoni. Dengan harga kurang RM3, kitab ini mampu dimiliki, tetapi terpaksa menunggu tahun berikutnya untuk mengikuti pembacaan dengan penadahan kitab. Setelah berkhidmat di KUSZA sekitar 1990-an, saya mendapat maklumat kelemahan kitab yang menggunakan dalil hadisnya sebahagian daif. Tetapi sebahagian besar pengkisahan dalam kitab ini sama sebagaimana sumber lain yang tidak dipertikaikan. Lebih menarik pada nota keliling (hamisy) terdapat catatan mengenai kejadian alam semesta yang sebahagiannya merupakan petikan karya Syeikh Nurudin ar-Raniri (kurun 17 M). Terdapat petikan-petikan menarik mengenai ciri-ciri fizikal dan astrometri Bulan, Matahari, langit dan unsur-unsur alam semesta. Jika semasa membacanya kita terus membandingkan dengan maklumat semasa, pasti ada perkaitannya. Kecuali sebelum membacanya kita telah mempunyai prasangka negatif. Perkara yang sama juga berlaku dalam semua karya pra-pemodenan. Kata-kata Bung Hamka ini boleh menjadi haluan untuk kita mengkaji nilai yang wujud dalam naskhah dan karya yang sedemikian sifatnya: ‘... setiap membaca sejarah nenek moyang ia akan meninggalkan kesan yang mendalam bagi jiwa kita, apabila lagi bila dibaca dengan rasa cinta. Kian dibaca kian terbayanglah masa-masa yang lampau dan masa lampau meninggalkan kesan yang dalam untuk menghadapi zaman kini dan zaman depan ....’

Allahumma bariklana fii Sya’bana wa balighna Ramadhan .........