Sunday, November 22, 2009

Perihal Manuskrip Bugis dan Jam Matahari

Assalamualaikum,

Lama juga blog ini tidak dikemas kini, semestinya kerana saya tidak dapat menyelesaikan ayat pertama. Setelah selesai ayat pertama, lantas dilajakkan berjela-jela....


Pada minggu lepas, saya mempengerusikan Seminar Etnomatematik Rumpun Melayu Siri 3/2009 di Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM), UPM. Seminar ini diadakan dalam skala yang sederhana dengan bilangan peserta lebih kurang 20 orang sahaja. Apabila saya diminta mengendalikan Siri 3/2009, apa yang menjadi dilema ialah mendapatkan pembentang baharu yang bukan ahli dalam Kumpulan Penyelidikan Etnomatematik Rumpun Melayu (KuPELEMA). Memang tujuan seminar ini mengumpulkan ahli-ahli baharu dalam kajian etnomatematik dan etnosains. Dengan bantuan rakan-rakan di INSPEM, UPM dapatlah sejumlah tujuh kertas kerja daripada tujuh orang penceramah. Bilangan tujuh merupakan angka yang menggambarkan ’banyak’ dalam kaedah mantik Melayu, maka tajuk saya sendiri (sepatutnya saya hendak membentangkan tajuk berkaitan naskhah Sirajuz Zhalam, naskhah falak bercetak pertama di Alam Melayu) disimpan untuk seminar berikutnya. Dalam setiap satu siri seminar ini, kesempatan hanya untuk pembentangan lima kertas kerja sahaja, di mana setiap pembentang diberi masa antara 45 sehingga 50 minit. Antara tajuk yang berkaitan ilmu falak yang telah dibentangkan dalam seminar ini ialah Sains Pelayaran dalam Manuskrip Bugis oleh saudara Nor Azam bin Mohd Nor dan Artifak Jam Matahari di Masjid Serkam Pantai, Melaka oleh Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.

Pembentangan saudara Nor Azam amat menarik (saya rasa persembahan beliau yang paling baik semenjak saya mengenalinya). Dalam pembentangan/kajian etnosains kita jangan terikut-ikut rentak pengkaji sejarah, kita bukan hendak berbicara tentang sejarah tetapi ‘sejarah sainsnya’ dan bagaimana ianya menonjolkan citra ketinggian ilmu bangsa rumpun Melayu. Manuskrip pelayaran Bugis telah diadaptasikan dengan baik oleh saudara Nor Azam, di mana manuskrip ini antara yang saya tidak analisis (dalam kajian Ph.D saya) walaupun telah mendapatkannya dari Prof. Abdullah (Jabatan Sejarah UM) semenjak tahun 2006 lagi. Saya rasa manuskrip tersebut sukar difahami kerana tulisan ‘jawi Bugisnya’ dan kesilapan saya tidak menafsirkan ‘ ... titik-titik gelap dan kabur ... ‘, yang menurut saudara Nor Azam jika ditinggalkan ‘... satu titikpun ....’, nescaya .... pendek ... ilmu... Kajian sains pelayaran Bugis yang lengkap telah dilakukan oleh Dr. Gene Ammarell dalam tesis Ph.D beliau di Universiti Yale pada tahun 1995. Sebahagian catatan tesis beliau boleh kita baca dalam Encyclopaedia of the History of Science, Technology and Medicine in Non-Western Cultures, terbitan Kluwer Academic Publishers, (s.v Astronomy in the Indo-Malay Archipelago).

Pembentangan mengenai artifak jam Matahari di Masjid Serkam Pantai, Melaka telah disampaikan oleh Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer. Oleh kerana artifak tersebut berada di Bumi Melaka (tanah tumpah darah ku), maka ada perkara yang hendak dikongsi. Maklumat terawal tentang kewujudan jam Matahari ini disampaikan oleh seorang pelajar saya pada tahun 2002 dan lawatan pertama saya (bersama sekumpulan pelajar KUSZA) pada bulan Januari 2003. Selepas pelajar menyiapkan tugasan mereka, saya tidak memperdulikan tentang artifak tersebut. Walau bagaimanapun, apabila saya menjalankan penyelidikan pasca siswazah saya pada tahun 2005, saya telah meneliti koleksi Surat Persendirian Syeikh Tahir di Arkib Negara Malaysia, Kuala Lumpur (kali keempat semenjak tahun 1992). Kali ini saya telah menjumpai satu makalah bercetak tulisan Haji Abdul Lathif Tambi bin Haji Muhammad Shalih al-Malakawi al-Tankirawi yang bertajuk Naskhah Mengenal Permulaan Tiap-tiap Bulan Bagi Tiap-tiap Tahun Basithah dan Kabisah, diterbitkan pada tahun 1342H/1924M oleh percetakan al-Ikhwan, Singapura. (Analisis kaedah falak dalam makalah ini telah saya bentangkan dalam Konvensyen Hari Astronomi, anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka pada 6 Mei 2006 bertempat di Balai Cerap al-Khawarizmi, Melaka). Dalam penulisan Abdul Rahim Abdullah (buku Warisan Sastera Melaka, terbitan Lembaga Bahasa Melayu Melaka dan suntingan Abdul Latif Abu Bakar, tahun 1984), ada dinyatakan bahawa Haji Abdul Lathif Tambi al-Malakawi mempunyai seorang anak murid bernama Haji Omar bin Osman.

Saya mengenali nama Haji Omar Osman ini sebagai seorang penyusun takwim negeri Melaka (sebelum 1980-an) yang berasal dari Kampung Serkam Pantai, Melaka. Saya juga pernah membaca surat menyurat Syeikh Tahir dengan Haji Omar Osman ini tentang kaedah menyusun takwim dan membuat jam Matahari. Dalam koleksi surat persendirian Syeikh Tahir juga terdapat beberapa grafik yang menunjukkan rekabentuk jam Matahari bagi kegunaan beberapa tempat di Tanah Melayu dengan nilai latitud yang berbeza. Grafik jam Matahari dalam koleksi tersebut adalah jenis khatulistiwa, sama sebagaimana artifak di Masjid Pantai Serkam, Melaka. Cuma saya tidak dapat pastikan tarikh surat menyurat antara Haji Omar Osman dengan Syeikh Tahir, jika tarikhnya sekitar 1940-an, maka jelas bahawa jam Matahari di Masjid Pantai Serkam, Melaka dibina oleh Tuan Haji Omar Osman. Saya juga pernah berbual (dengan telefon) dengan anak saudara Haji Omar bernama Cikgu Hamzah Mohd. Nor, tapi saya tidak ingat sama ada pernah membangkitkan soal siapa yang bina jam Matahari di masjid berkenaan. Beliau juga pernah mempelawa saya melihat koleksi kitab-kitab bapa saudaranya, tapi kerana kesibukan saya tidak pernah ke sana lagi. Selain jam Matahari di Masjid Serkam Pantai, Melaka, artifak ini juga terdapat di di Masjid Tengkera (dua unit), Masjid Kampung Hulu (satu unit), Masjid Kampung Keling (2 unit) dan satu lagi di Masjid Pantai Peringgit, Melaka. Saya masih ingat semasa kecil (sekitar tahun 1970-an), semasa bersekolah di Madrasah al-Aliyah, Kampung Hulu, kami menjadikan artifak tongkat istiwa di situ sebagai alat mengukur waktu solat. Entah betul atau tidak kami tidak peduli, tetapi yang pastinya noja Dolah akan ukur bayang dan tengok jam serentak sebelum azan dialun. Kini artifak jam Matahari dan tongkat istiwa di Masjid Kampung Hulu dan Kampung Keling, Melaka sudah dipindahkan ke Muzium Islam, Melaka. Lawatan saya pada tahun 2005, menunjukkan salah satu jam Matahari tersebut telah patah, tidak diketahui sama ada telah diperbaiki ataupun tidak. Saya percaya kewujudan banyak artifak jam Matahari dan tongkat istiwa di bandar Melaka sebelum tahun 1970-an, kerana kesedaran tinggi ulama ketika itu mempraktikkan kaedah usul fikah ... tidak sempurna sesuatu yang wajib, melainkan dengannya menjadi wajib ....

Sekian, wallahu a'alam.

Selamat menyambut Aidil Adha & Selamat Tahun Baharu Hijri