Wednesday, September 1, 2010

Weeh ..... Bulang Dah Tubik Pagi .... weeh

Jika diumpamakan bulan Ramadhan itu sebagai komet, Ramadhan kini sudah mencapai titik perihelionnya. Sebagaimana sifat komet yang meluncur datang dari pinggir sistem suria, begitu juga dengan Ramadhan yang datang dan pergi dengan kitaran tersendiri. Ketika komet menghampiri Matahari, debu-debu dan gas yang membentuk jasadnya terlerai kerana kepanasan Matahari, maka bersinarlah komet itu dan berjurailah ′ekornya’. Selepas perihelion komet bergerak keluar dari sistem suria dan akan datang semula mengikut tempoh orbitnya. Ramadhan 1431H, kini sudah berada pada titik perihelionnya. Untuk beberapa hari lagi kecerahan Ramadhan akan terus cerlang sebelum mengawa pecut pada petang 9 September nanti. Insyaallah, mengikut sunatullah, kitaran Ramadhan melalui fasa hilalnya akan bertandang semula 11 purnama lagi. Hari ini (tanggal 2 September 2010, hari Khamis bersamaan 23 Ramadhan 1431), Bulan sudah melepasi fasa suku ketiga. Jika pada awal bulan Ramadhan lepas, bentuk sabitnya membesar ke arah timur, fasa kali ini menunjukkan bentuk sabitnya mengecil ke arah timur pula. Kohor hari kohor kecil, menepati sunatullahnya sebagaimana maksud firman Allah swt dalam al-Quran (36:39), ′ ... dan telah Kami tetapkan bagi Bulan manzilah-manzilah, sehingga kembalilah ia sebagai bentuk tandan yang tua ...’. Mulai fasa suku ketiga juga Bulan akan terbit selepas tengah malam. Malam 3 likur, Bulan terbit sekitar jam 12.40 tengah malam di Kuala Terengganu. Malam 4 likur, kira-kira jam 1.30 pagi, malam 5 likur, jam 2.20 pagi dan seterusnya pada malam 7 likur Bulan terbit jam 4.30 pagi. Kita akan dapat melihat Bulan sabit tua Ramadhan 1431 buat kali terakhirnya pada pagi 7 September 2010 (Selasa). Weeh ….. Bulang dah tubik pagi .... .weeh. Apa maknanya ini? Bulan Ramadhan hendak meninggalkan kita, tiada apa dapat menghalangnya ..... Tuan-tuan guru telah mula membacakan doa, ’Ya Allah pertemukan kami dengan keberkatan dan kemuliaan Ramadhan pada tahun akan datang, pertemukan kami dengannya lagi ya Allah, pertemukan kami dengannya bersama-sama kedua ibu bapa kami, kaum kerabat kami, para sahabat kami, dengan penuh keimanan, kesihatan dan kemurahan rezki .... Ya, semoga Allah pertemukan kita lagi dengan bulan yang penuh berkat ini, Insyaallah.

[Perkataan likur merupakan istilah etnomatematik Jawa bagi nombor selepas 20 yang biasanya digunakan bagi tarikh. Dalam budaya Melayu, perkataan likur biasanya dikaitkan dengan sepuluh malam terakhir bulan puasa. Dari segi semantiknya, istilah ini dapat dikaitkan dengan perkataan, lailatur qadr, yang disingkatkan menjadi laiqadr, kemudian mengalami evolusi menjadi liqadr dan seterusnya menjadi likur, tapi pastinya tidak sama dengan keropok lekur atau Mengabang Lekor.....]

No comments:

Post a Comment