Saturday, August 21, 2010

SUBUH RAMADHAN YANG HENING ........

Alhamdulillah, kita sudah melepasi sepertiga dari bulan Ramadhan. Fasa ‘rahmat’ yang sudah meninggalkan kita dengan kelajuannya tersendiri. Tidak perlu dihitung, malam 1, malam 2, malam 3 dan seterusnya, kerana sunatullah ‘Bulan yang meniti manzilahnya sehingga di akhir peredarannya ....’ (maksud sebahagian ayat al-Quran, 23:39). Girang dan gemilangnya wajah Bulan di langit yang semakin membesar kerana akan mengadap ‘akan Allah’ menjelang purnama nanti. Setiap malam dalam perjalanan kita ke surau atau masjid untuk menunaikan solat isyak dan terawih, sudah pasti mata kita tertumpu kepada ‘wajah qamar’ ini yang kelihatan semakin jauh ke arah timur. Di waktu subuh pula, kita terpandang seketika kepada buruj Orion (disebut juga nama timangannya sebagai ‘bintang Kiblat’) yang terdendeng di pertengahan langit timur.

Memang subuh Ramadhan begitu mengasyikkan, begitu hening, sayup-sayup terdengar bacaan al-Quran dari pembesar suara masjid atau surau. Bukan satu masjid, tetapi beberapa masjid dari beberapa penjuru. Menjelang waktu imsak, sebahagian masjid melaungkan seruan ‘imsak! imsak! imsak’. Saya masih teringat skrip seruan ini dari Masjid Intan Zaharah, Dungun ( .... semasa berkahwin dengan orang Dungun dulu .... sekarang orang Dungun gak ...), tok bilal melaungkannya dengan skrip yang lebih syahdu ‘ ... Wahai kaum muslimin muslimat sekalian, sekarang masuklah waktu imsak, maka berhentilah kamu dari makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa ...’. Di Kuala Terengganu, keheningan subuh ini juga akan digegarkan dengan tembakan ‘bedil’ bagi menandakan tamat waktu bersahur. Agaknya tradisi ini hanya masih bertahan di Kuala Terengganu, sesuai dengan slogannya, ‘negeri cantik, budaya menarik....’. Memang telah menjadi budaya aktiviti ini dilakukan di Kuala Terengganu dan terus dipertahankan. Di Bandar Melaka (.... tanah tumpah darah ku ...), tradisi ini telah lama ditiadakan. Meriam ‘badek’ yang pernah dijadikan bedil, sekarang cuma hiasan di tangga masjid Kampung Hulu, Melaka. [Lihat catatan saya dalam buku Ilmu Falak, ’pipi’ 132]. [Istilah pipi ialah muka surat atau halaman mengikut perbendaharaan bahasa Melayu lama]. Tembakan ‘bedil’ di Kuala Terengganu tidak lagi menggunakan meriam, sebaliknya senapang khas yang dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta dengan pengawasan pihak polis Terengganu. Aktiviti ini mendapat mandat dan biaya dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM). Terasa nak ajak pelajar-pelajar pergi tengok bagaimana aktiviti tersebut dilakukan, tetapi macam-macam hal yang menghalang .... hakaza wakaza ... Dari tempat saya di Gong Badak (kira-kira 15 km dari tempat pelancaran bedil), bunyi bedil sebelah pagi boleh kedengaran, tetapi bedil waktu berbuka jarang sampai ke sini. Pada minggu lepas semasa berbuka puasa di Seberang Takir, bunyi bedil itu begitu kuat dan menggerunkan! Apa pentingnya bedilan ini? Penting lagikah di zaman serba canggih ini? Sebenarnya kaedah bedilan, bunyi siren, pukulan beduk atau pengumuman di radio adalah kaedah amalan petunjuk tanda waktu, bagi menzahirkan maksud al-Quran (2:187-sebahagian), " .... dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai malam ....". Pemerintah bertanggung jawab menetapkan kaedah bagi menetapkan sempadan ’ benang putih dari benang hitam’ ini, dan hamba rakyat perlu mematuhinya. Kaedah ini juga merupakan syiar terhadap kebesaran tanda waktu tersebut, malahan di bulan yang mulia, Ramadhan Kareem ... Menunjukkan penduduk empunya negeri akan melakukan ibadat puasa Ramadhan, syiar itu juga menunjukkan ada kegirangan yang berterusan. Kaedah ini jauh lebih baik dari pukulan kompang, gendang dan permainan alat muzik yang dilakukan oleh sekumpulan pemuda, konon-kononnya untuk mengejutkan orang bersahur. Di bandar Melaka, kaedah ini bukan tradisi, ianya bermula di satu kampung berhampiran, pemuda Kampung Morten ada menirunya, tapi tidak kekal lama. Lebih baik pemuda-pemuda ini dikumpulkan di masjid atau surau untuk mereka bersama-sama merebut fadhilat menjelang waktu subuh. Dikatakan bahawa fadhilat melakukan solat sunat sebelum subuh, ganjarannya ‘bagaikan isi antara langit dan bumi’, malahan pula pada bulan Ramadhan. Bukan seposeng atau dua poseng, ’isi antara langit dan bumi’. Di bulan Ramadhan, gandakan 70 kali .... Mana nak dapat? Jadi pilihlah, yang mana satu pilihan kalbu, wahai pemuda tiang agama ..... Di Terengganu, tradisi pukul kompang dan bergendang tidak diketahui kewujudannya ..... agaknya memang tidak disukai. Sama kesnya dengan patung besar dengan kepala menggeleng-geleng di kedai makanan segera untuk tujuan iklan jualan..... tapi ada anak kecil yang terjerit-jerit ketakutan, demam tak kebah .... Iklan tersebut tidak sesuai, kerana ianya bukan tradisi kita.


Selain bunyi bedil, suasana subuh juga disemarakkan dengan bacaan al-Quran dan terahim subuh. Semasa kecil di kampung halaman di Melaka, bacaan terahim subuh inilah yang menyegarkan kami sekampung dari keadaan ‘musam dan monyok’, dek kerana mengantuk ataupun kekeyangan bersahur, kepada keghairahan mencari-cari dari mana asal suara terahim subuh ini .... oppss dari surau rupa-rupanya. Tarikan utama bacaan ini kerana kemerduan suara pembacanya dengan irama qasidah dan keampuhan makna bacaan terahim subuh itu sendiri. Antara pembaca terahim subuh di kampung saya dahulu ialah Ustaz Mahmud (guru al-Quran saya), Noja Dollah dan Sifudin (semoga Allah rahmati mereka tiga beradik ini), begitu mendayu dan irama yang disesuaikan dengan makna bacaan itu sendiri. Doa dan puji kepada Allah swt yang mendayu-dayu dan merayu-rayu. Tentu bagi seorang muslim yang faham makna bacaan ini akan tersentap hatinya .... Berjalanlah dia berlenggang ke arah suara itu, sambil dia juga mengulangi akan doa dan puji itu dalam hatinya.

Ya Allah Yang Maha Pengasih, rahmatilah kami (diulang 3 kali)
Dan berikan keampunan bagi kami,
Dan maafkan kesalahan kami,
mohon tetapkan ketaatan kepada Mu,
dan tetap bersyukur akan Engkau.
Ya Tuhan yang hidup dan Tuhan yang berdiri dengan sendirinya

Cuba lagukan mengikut lenggok mana-mana lagu Melayu. Jika tidak jadi .... cuba qasidahkan pula mana-mana nasyid popular, rasanya belum dapat menandingi irama dan lirik terahim subuh itu .... Subuh Ramadhan yang hening juga membuatkan rasa rindu dengan kampung halaman, teringat arwah bonda dan nenda-nenda, terkenang ayahanda yang kesepian di sana ...... Inilah roda kehidupan ....... Ya Allah Yang Maha Pengasih, rahmatilah kami, berikan keampunan bagi kami, dan maafkan kesalahan kami ......

No comments:

Post a Comment