Thursday, October 6, 2011

Bulan Berapit dan Alasan Berlapis

Assalamualaikum wr wb.,

Lebih satu bulan Ramadhan meninggalkan kita. Kini kita berada dalam bulan Zulkaedah, juga dinamai sebagai bulan Berapit. Mungkin istilah bulan Berapit ini hanya digunakan sebahagian kecil masyarakat Melayu. Namun nama bulan ini menjadi satu-satunya istilah Melayu asli dalam duabelas nama bulan takwim. Dinamai 'berapit' kerana terletak antara dua hari raya, iaitu raya puasa (aidil fitri) dan raya Haji (aidil adha). Manakala alasan berlapis (bukan berlapik) adalah sesuatu justifikasi dengan beberapa alasan tersendiri! Alasan berlapik, biasanya merujuk kepada beberapa makna dan maksud lain.

Selepas habis bulan syawal, aktiviti seminar, bengkel dan konvensyen kembali rancak. Sama ada sedar ataupun, sebahagian penganjur kurang mengambil cakna perbezaan aktiviti antara bengkel, seminar, konvensyen atau kolokium. Atas niat untuk mempraktikkan ilmu, saya suka mengkritik terhadap penggunaan istilah dan perjalanan aktiviti sesuatu jabatan. Biasanya, kritikan ini bermula apabila aktiviti berkenaan melibatkan saya sebagai jemputan. [Jika dan hanya jika, pegawai berkenaan merupakan alumni UniSZA atau kenalan rapat]. Sebagaimana lumrah, seorang penceramah atau pembentang kertas kerja akan mengaitkan tema dengan tajuk ceramah yang diberikan. Atas persetujuan bersama, tajuk ceramah boleh disesuaikan dengan tema. Namun ada aspek lain yang perlu diambil perhatian, siapakah sasaran peserta? Begitu juga dengan status jemputan, penceramah atau pembentang kertas kerja? Bagi status penceramah, kandungannya boleh merupakan 'modal lama' atau 'kitar semula', tetapi bagi pembentangan kertas kerja, kandungannya patut mengandungi idea baharu. Jadi bukan semudah menjemput dan menerima jemputan. Bagi dua bulan kebelakangan ini, saya menolak satu jemputan pembentangan kertas kerja kerana tema yang tidak dapat saya kaitkan dengan kepakaran saya. Namun, saya sendiri mencadangkan pengganti. Begitu juga penolakan saya terhadap tawaran sebuah institusi bagi mengendalikan kursus 'peringkat tinggi' yang saya kurang jelas hubungannya dengan kursus 'peringkat rendah' sebelumnya. Mana mungkin saya mampu mengendalikan kursus dengan baik, jika saya tidak boleh akses kepada keseluruhan kandungan kursus peringkat 'rendah dan tinggi'? Begitu juga kegagalan saya mendapatkan seluruh jadual perjalanan kursus. Jika saya buat tajuk kuliah sebarangan, kemungkinan besar akan bertindih dengan pensyarah lain. Dalam tajuk besar ada tajuk kecil, dalam tajuk kecil ada kaedah lain. Jadi yang mana satu slot untuk Dr. Baha? Tidak boleh menjawab atau beri maklum balas, maka 'balik awal'. Mungkin ada satu lagi tawaran 'pembentangan' terpaksa ditolak kerana teguran saya terhadap objektif seminar dan tajuk ceramah tidak dapat mereka terima. Mereka boleh menggunakan kuasa mereka sebagai penganjur dan saya juga menggunakan kuasa saya sebagai ahli akademik. Bukan soal ego, ketegaran dan 'babeh', tapi untuk menunjukkan 'satu proses'. Hanya apabila persefahaman dapat dicapai, pembentang dapat menyampaikan sesuatu yang menepati objektif aktiviti dan berlaku perubahan pengetahuan kepada para peserta. Semoga usaha memertabatkan ilmu falak sebagai citra sains Islam berada pada landasan yang betul.

Sekian, wallahu a'alam

Baharrudin Zainal
Kampung Sepetir Rendang
Tok Jembal
Kuala Terengganu

1 comment:

  1. sangat jelas sekali apa yang diutarakan... moga dapat dimanfaatkan bersama...

    ReplyDelete