Monday, February 8, 2010

Al-Khatat Guruku Yang Mulia .....

MANUSIA MATI MENINGGALKAN WARISAN ILMU


Pada hari Rabu 3 Februari 2010 bersamaan 18 Safar, kira-kira jam 8 malam saya mendapat pesanan ringkas dari Saudara Rizanudin Nordin bahawa Ustaz Abd. Rahman Salleh telah kembali ke rahmatullah. Saya menghubungi keluarga beliau setakat untuk pengesahan dan ucapan takziah. Saya dimaklumkan jenazah almarhum akan dikebumikan di kampung asalnya, Padang Pat Amat, Pasir Putih. Agak terkilan kerana tidak dapat menziarahi jenazahnya kerana saya akan ke Melaka keesokkan harinya atas urusan keluarga yang tidak dapat dielakkan. Kali terakhir saya menziarahinya kira-kira satu bulan sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir. Keadaannya ketika itu amat uzur, daya ingatannya agak kurang, tetapi masih boleh bercakap agak lancar. Apabila mengadap beliau di katil perbaringannya, saya bisikkan kehadiran saya dan seorang rakan dari UDM. Beliau ingat dan menangis serta bertanya mana rakan-rakan lain. Antara yang disebutnya ialah Encik Hasan Ali dan Zul ‘budak Bari’. Saya katakan yang saya datang bersama Zul, selepas itu beliau masih bertanya lagi kenapa Zul tidak datang. Ingatannya kepada sebahagian kakitangan Balai Cerap KUSZA kerana keakraban mereka semasa almarhum menyandang kerusi karyawan tama Unit Falak mulai Disember 2004 sehingga Mac 2005.

Ustaz Abd. Rahman Salleh adalah satu nama besar ilmuwan falak daripada generasi ketiga selepas Syeikh Ahmad al-Khatib dan Syeikh Muhammad Nor Penambang (mufti Haji Nur). Dilahirkan pada tahun 1930, dan mendapat pendidikan agama yang awal di Mekah dan di Kelantan sendiri. Almarhum merupakan tenaga pengajar ilmu falak semasa ilmu falak menjadi sebahagian kurikulum dalam sekolah agama di Kelantan. Di samping menjadi penasihat bahasa Arab bagi buku teks yang diterbitkan bagi kegunaan sekolah-sekolah agama di Kelantan. Jawatan terakhirnya ialah pengelola peperiksaan sekolah agama di Kelantan. Namun almarhum Ustaz Abd. Rahman Salleh, seorang yang merendah diri, tidak suka menonjolkan diri dan ‘sering mengelakkan diri bersama orang yang anginnya tinggi’. Kerana itulah beliau kurang dikenali di luar negeri Kelantan, kerana almarhum tidak mahu bersaing. Kadang-kala almarhum lebih dikenali sebagai pakar penulisan khat berbanding dengan kepakarannya dalam ilmu falak. Antara nama samaran dan gelaran bagi setiap tulisan khatnya ialah Abu Faiz dan al-Khatat. Nama samaran Abu Faiz adalah ’rahsia yang terbongkar’ apabila saya menunjukkan kepada almarhum naskhah tulisan Nakula (Ustaz Abdullah Muhammad) bertajuk Bentuk Alam Yang Mengkagumkan. Pada halaman depan buku tersebut dihiasi dengan tulisan khat yang amat cantik. Terdapat catatan kecil nama samaran beliau pada celah-celah bunga kerawang tulisan khat tersebut. Sebenarnya kebanyakan tulisan jawi yang menghiasi muka depan buku-buku terbitan Pustaka Aman Press pada 1970-an, merupakan hasil tangan almarhum. Beliau pernah memenangi tempat ketiga Pertandingan Seni Khat ASEAN tahun 1989. Menurut Almarhum Tuan Haji Abd. Rahaman Hussien (bekas YDP Persatuan Falak Syarie Malaysia yang juga anak saudara serta anak murid kepada Ustaz Abd. Rahman Salleh), kebanyakan tulisan khat di Masjid Sultan Hassanal Bolkiah, Negara Brunei Darussalam merupakan hasil seni Ustaz Abd. Rahman Salleh.

Manusia mati meninggalkan nama dan ilmu yang diwariskannya, sama ada anak murid ataupun buku karya/susunannya. Koleksi buku ilmu falak almarhum yang dianggap sebagai karya besarnya ialah Qawaidul Miqat dalam tiga jilid. Jilid pertama terbitan tahun 1959 M, kedua tahun 1961 dan ketiga tahun 1963. Ketiga-tiga buku ini dalam bahasa Arab dan diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Kandungannya mengenai ilmu mikat dengan tumpuan kepada kaedah hitungan waktu solat dan arah kiblat menggunakan sukuan sinus dan jilid ketiga berkaitan hitungan takwim Islam menggunakan sistem munajimin rujukan buruj. Kajian teks yang saya lakukan mendapati, kaedah hitungan falak menggunakan sistem munajimin dengan rujukan buruj ini terdapat dalam Zij Ulugh Beg dan Zij Jadid Masyaallah. Anggapan dibuat bahawa almarhum merujuk dengan kedua-dua sumber ini atau menggunakan rujukan dua karya utama Alam Melayu yang lain, iaitu kitab Sullamum an-Nayyiraini Syeikh Abu Mansur al-Damiri dan Khulasatul Wafiyyah oleh Syeikh Zuber Umar al-Jailani. Kedua-dua naskhah Alam Melayu ini terbit sekitar 1930-an. Semasa almarhum berkhidmat sebagai karyawan tamu di KUSZA pada akhir 2004 sehingga Mac 2005, ketiga-tiga buku ini beliau (Qawaidul Miqat dalam tiga jilid) telah didokumentasikan semula dalam bahasa Melayu. Malangnya, saya dan rakan-rakan di Unit Falak KUSZA ketika itu tidak dapat membuat tindakan susulan. Sehinggalah pada bulan Disember 2009, apabila saudara Rizanudin Nordin dari syarikat Tinta Publishers menunjukkan kepada saya makalah terjemahan bagi kitab tersebut secara bebas oleh Saudara Rosli Husin. Saya juga difahamkan, anak almarhum telah meminta syarikat berkenaan mempertimbangkan penerbitannya. Apabila makalah terjemahan ini ditunjukkan kepada almarhum ketika itu, beliau mencadangkan nama saya sebagai pembaca kedua untuk menyemak kembali kandungannya supaya menjadi sebuah buku falak yang sesuai dengan keadaan semasa. Saya menerimanya dengan perasaan barbaur, ada rasa gembira kerana kepercayaannya dan ada rasa bimbang tak tercapai maksud al-Khatat. Namun saya menerima juga, apabila mengenangkan kegagalan kami di KUSZA mendokumentasikan naskhah terjemahan ini dahulu. Walaupun terjemahan oleh Saudara Rosli Husin agak baik dan saya lebih memahaminya, tetapi istilah dan contoh hitungan yang agak ketinggalan. Perkara pertama berkaitan pembaikian istilah boleh saya lakukan (sehingga kini, minggu pertama Februari 2010, pembaikian istilah telah selesai), tetapi membuat contoh hitungan agak berat bagi saya. Masa yang lama saya perlukan bagi tujuan ini, kerana kerumitan kaedah ambilan data dalam sistem munajimin rujukan buruj. Tajuk yang diberikan oleh pihak penerbit ialah Pengiraan Astronomi, Panduan Waktu, Arah dan Kalendar Islam. Tetapi saya akan meminta pihak penerbit mengubahnya kepada tajuk Ilmu Mikat, Hitungan Waktu dan Takwim Hijri. Walaupun saya dalam kesibukan menyiapkan dua buah buku pasca tesis doktoral, saya gagahkan diri juga menyiapkan pengeditan buku al-Khatat, terbitan Tinta Publishers. Insyaallah, saya cuba menyiapkannya dalam dua bulan lagi.

Al-Khatat merupakan ahli falak Melayu yang mewarisi kaedah penyampaian ilmu yang berkesan. Dalam beberapa perbincangan dalam bukunya, almarhum menggunakan bait-bait puisi Arab untuk menyatakan sesuatu maklumat. Misalnya untuk mengingati jujukan tahun-tahun kabisah dan susunan buruj. Begitu juga kemahiran seni khatnya dipaparkan dalam satu jadual falak yang menarik, bertajuk Jadwal Istiqraj as-Saah bil Rubuc Mujayyab tahun 1960. Jadual ini sebenarnya maklumat parameter hitungan sudut jam Matahari yang terdiri daripada nilai badc qutr, asal mutlak, nisf al-fadlah dan mail Matahari mengikut tarikh Afranji (Miladi) dan tarikh Buruj. Maklumat ini dipaparkan khusus bagi kegunaan negeri Kelantan, pengguna hanya perlu melakukan operasi aritmetik dengan sukuan sinus untuk mendapatkan waktu solat bagi negeri Kelantan. Di samping itu, almarhum juga didapati telah menyalin semula satu jadual faraid yang bertajuk Jadwal al-Mirathil as-Syar’i. Jadual ini mengandungi 30 jalur waris dengan nisbah faraid masing-masing. Saya lebih terpesona dengan kekemasan tulisannya khatnya berbanding catatan lain dalam bahasa Arab yang saya tidak fahami. Menurut catatan dalam jadual tersebut disalin dari al-Imam al-Kabeer as-Syeikh al-Jalil Bin al-Ha’im. Kedua-dua jadual ini (Jadwal Istiqraj dan Jadwal al-Mirathil) menjadi hiasan di ruang tamu rumahnya, di Banggol Kulim, Machang Kelantan.


Al-Khatat Haji Abd. Rahman Salleh dan isterinya amat berbudi terhadap tetamu yang bertandang ke rumahnya. Tidak kira siapa, baik pelajar, anak muridnya atau rakan taulan akan dilayan macam saudara sendiri. Saya difahamkan terdapat ramai pelajar yang telah datang membuat kajian biografi beliau atau belajar kaedah falak tradisional. Kewafatan al-Khatat menjadikan negeri Kelantan dan Malaysia kehilangan seorang ahli falak dan ulamak generasi akhir dengan jaluran warisan ilmu daripada Syeikh Ahmad al-Khatib. Namun buah ilmunya telah memberi manfaat kepada jaluran lain generasi karyawan falak pasca modenisasi. Semoga Allah merahmati rohnya, menempatkannya di kalangan orang-orang salih dan semoga Allah swt menjadikan warisan ilmunya sebagai wakaf jariah yang berpanjangan bagi almarhum.

5 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Subhanallah...xsangka almarhum ini menggunakan name pena 'al-khatat'. tulisan khat beliau saya jadikan rujukan. Takziah buat keluarga almarhum.

    ReplyDelete
  3. Assalamualikum,
    Saya nak bertanya tentang syeikh umar nuruddin sg keladi. apakah sumbangan beliau dalam dunia falak melayu? kenapa kurang karya mengenai beliau walupun nama sering disebut? Terima kasih makluamt yg diberi.

    ReplyDelete
  4. nama samaran abu faiz pada setiap tulisan khat beliau diambil drp anak bongsu beliau yg juga ayah saudara sy iaitu Mohd Faiz...

    Wslm..from Cucunda Ustaz Man Salleh Al-Miqat..

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum.
    saya sbg cucu arwah berbesar hati dapat berguru dgn cikgu baha dlm kursus IWE 1012, asas2 takwim, sesi 2010/2011.

    ReplyDelete