Saturday, December 26, 2009

Dualisme, Integrasi dan Nama …….

Assalamualaikum wr. wb., Apabila Selesai Ayat Pertama .... inilah natijahnya ...

Awal Disember lepas, saya sekeluarga balik ke kampung halaman di Kampung Morten, Melaka. Dalam keseronokan berada di kampung, saya terlepas peluang mempertahankan permohonan geran penyelidikan (FRGS) yang dipohon. Maklumat yang diemailkan kepada saya, banyak pembetulan perlu dibuat kerana begitu ..... begini..... Bagi meleraikan keserabutan fikiran kerana kegagalan tersebut, hati kecil berkata .... enam bulan akan datang cuba mohon lagi ...... Balik bercuti tiba-tiba ada surat menghadiri perbincangan hala tuju strategik fakulti dan selepas itu ada bengkel pemurnian sukatan kursus-kursus fakulti. Inilah agaknya yang biasa disebut oleh rakan-rakan semenjak hampir satu tahun dahulu ‘retreat .... atau retread...’. Yang satu itu bersunyi-sunyian dan yang satu lagi membawa makna ... celup tayar lama ... Dalam hal pemurnian sukatan, kedua-dua makna bahasa Inggeris boleh digunakan (jika hendak). Peserta bengkel dikumpulkan pada satu tempat (... retreat ...) dan ambil sukatan lama, buat baharu atau dimurnikan, macam celup tayar ( .... retread ....). Tapi tayar celup ada keburukannya, jika tidak tahan dengan suhu permukaan jalan (dek kerana geseran), tayar boleh merekah, terlongkah, terpelanting ....... kereta terbabas, serpihan tayar bergerak dengan momentum yang maksimum dan berakhir dengan impak maksimum juga ...... Apabila nama saya disenaraikan sebagai peserta, saya bertanya kepada Ketua Unit Falak, beliau memberi penjelasan dan saya gembira untuk menghadirinya. Sekurang-kurangnya saya boleh tahu struktur kursus fakulti (lama dan baharu) dan boleh mengendap-ngendap cari peluang nak tumpang subjek falak yang terpinggir semenjak ko-kurikulum falak digugurkan dalam program ko-kurikulum UDM. Tetapi dengar cerita di Fakulti Perubatan USM, Kubang Kerian ko-kurikulum falak/astronomi masih ditawarkan ....

Apa yang ingin saya kongsi dalam laman blog ini ialah perbincangan tentang dualisme, integrasi dan nama ... Sesuatu yang biasa saya cakapkan bersama rakan-rakan dalam forum falak, tetapi tidak pernah sekali di UDM (mahupun semasa KUSZA dahulu). Dualisme pendidikan tentunya menjadi topik perbincangan apabila kita mula hendak ‘mengkamirkan yang dua ini supaya menjadi kamil .....’ Secara umum, dualisme dalam pendidikan berkaitan pemisahan pendekatan yang bersifat syarie dan sekular. Pendidikan bersifat syarie kerana sumbernya wahyu, sekular dikaitkan dengan sumber akal. Selain sumber, pendidikan yang bersifat syarie, tujuannya untuk merealisasikan manusia sebagai khalifah Allah di muka Bumi, digunakan untuk ibadat dan segala macam yang berada dalam ruang lingkup sistem ilmu Islam yang difahami (secara langsung). Sekular selain bersumberkan rasional akal juga dikatakan dirujukkan sebagai ilmu dapatan barat, tidak berkaitan dengan ibadat fardu ain dan kepentingan duniawi. Dualisme juga berlaku apabila dasar pendidikan dikotakkan dalam matra tertentu. Pengajian Islam dengan pengajian Islamnya, sains sosial dengan sains sosialnya, sains gunaan dengan aspek gunaannya, ekonomi dengan ekonominya. Menjadi dualisme kerana kegagalan mengaitkan sistem pendidikan dengan tujuan ilmu yang antara lainya untuk mengharmonikan kehidupan manusia. Alam sekitar menjadi musnah kerana dikatakan pembangunan yang tidak terancang. Mengapa? Dek kegagalan melahirkan teknokrat yang mampu menyeimbangi pembangunan fizikal dengan sunatullah alam? Kegagalan ini kerana dualisme pendidikan? Apakah benar dualisme ini juga menjadi punca kelesuan ummah? Atau sebenarnya tanggapan dan proses pendidikan umat Islam yang terbatas. Sukar untuk mengatakan telah berlaku kekeliruan epistimologi disebabkan dualisme tersebut. Saya lebih senang menganggapkan sebagai ‘proses yang terbatas’, bagi meraikan survival ilmuwan Islam terdahulu. Sebahagian mereka bukan duduk diam, mereka bukannya mengambil sebahagian dan melepaskan sebahagian. Kita kena mengkaji masalah yang timbul pada zaman mereka dan keutamaan mereka terhadap sesuatu perkara.

Sebagai tenaga pengajar dalam bidang ilmu falak yang khusus dalam aplikasi ibadat, saya cuba menunjukkan tiada perbezaan antara ilmu falak menurut wahyu, praktik zaman sains tamadun Islam dengan pasca pemodenan. Bagi ilmu falak sendiri, penggunaan istilah ‘ilmu falak syarie’ ialah kesan dualisme yang mengelirukan. Pada pendapat saya, integrasi hanya berlaku pada nama tetapi konsepnya sempit. Saya bertanya kepada diri sendiri, rakan-rakan bertanya kepada saya, pelajar bertanya kepada saya, apa yang syarienya? Adakah istilah ilmu ini diwujudkan sebagai satu cabang dalam ilmu falak? Atau kita hendak menonjolkan aspek yang berkaitan dengan ibadat, maka kita kategorikannya sebagai ilmu falak syarie? Persoalan ini saya kupas apabila saya membincangkan soal epistimologi ilmu falak sebagaimana dalam buku saya, Ilmu Falak, Teori, Praktik & Hitungan. [Lihat dalam Baharrudin (2003: 2-7), catatan dalam perenggan berikut adalah petikan mengenai kupasan isu tersebut dalam buku berkenaan].

Para pelopor ilmu falak dan ulama tidak pernah mengklasifikasikan ilmu falak kepada ilmu falak syarie untuk aspek berkaitan ibadat sahaja, kerana sifat universal sains menurut Islam. Begitu juga jika kita lihat hasil kerja ilmu falak pada zaman pertengahan Islam oleh Ibnu Sina, al-Khawarizmi, al-Kindi dan al-Biruni, kajian sains yang mereka lakukan begitu meluas. Bukan sahaja dari segi skop kajian, malahan meliputi sumber ilmu, kaedah dan integrasi ilmu yang mereka praktikkan. Al-Biruni misalnya selain mengkaji tentang geografi dan geologi juga memperbaiki teori qamari mengenai saiz bumi, matahari dan planet-planet (lihat dalam Sayyid Hossien Nasr, 1992). Begitu juga al-Khawarizmi, merupakan pakar dalam kajian qamari dan kenampakan Anak Bulan (dalam David King, 1993). Manakala Shaharir Mohamad Zain (2000), membincangkan pencapaian Ibnu Sina sebagai pakar dalam astro-fizik. Mat Rofa Ismail (1995) pula, membincangkan ilmu falak sebagai cabang matematik dan penglibatan bersepadu ulama Alam Melayu tentang aplikasi falak. (Nama pengarang dengan tahun, carilah buku-buku dengan tajuk berkaitan). Beberapa dekad kebelakangan ini, sebahagian ahli-ahli sejarah dan falsafah sains Islam lebih cenderung melabelkan sains yang umum, sebagai sains Islam sebagaimana kupasan dalam Ziauddin Sardar (1981), Hairudin Harun (1992) dan Osman Bakar (1996). (Nama pengarang dengan tahun, carilah buku-buku dengan tajuk berkaitan). Ini bertujuan untuk memperbetulkan sejarah sains dan membezakan beberapa ciri perspektif sains Islam dengan sains barat. Apabila ilmu falak telah diterima sebagai cabang sains Islam, maka pengkategorian ilmu falak kepada ilmu falak syarie merupakan satu kekeliruan. Dalam kronologi pencapaian sains Islam, bermula dengan era Jabir (750-800M) sehingga Ibnu Rusyd (1100M), era tanpa pengkategorian ini memperlihatkan bagaimana sarjana Islam telah berjaya menggerakkan kegiatan sains pada landasan yang betul. Ilmu falak tidak pernah dipisahkan antara keperluan ibadat dengan kehidupan seharian. Semasa para ulama menyebarkan Islam di negara nusantara, ilmu falak dikembangkan bersama-sama ilmu fikah (Baharrudin, 2002). Ketika ini, atas ‘uslub dakwah’ skop ilmu falak dikecilkan kepada ilmu tentang waktu atau ilmu miqat (ilm al-miqat) sahaja. Skop ilmu falak juga menjadi terhad kerana penjajahan berterusan terhadap negara-negara Islam. Serentak dengan ini kecenderungan untuk meneruskan kajian sains (walaupun ianya berkaitan dengan ibadat) telah digantikan dengan persoalan lebih besar untuk menyelamatkan aqidah umat Islam. Ijtihad saintifik tidak perlu bagi negara Islam terjajah ketika ini, sebaliknya penggunaan apa hukum yang sedia ada atau bertaklid menjadi pilihan. Menurut Ziauddin (1991), ketika ini ijtihad saintifik tertutup dan digantikan dengan taklid yang mendominasi pemikiran sains Islam. Begitu juga apa yang berlaku kepada ilmu falak, apabila para ulama yang menyebarkan ilmu fikah telah mengambil aspek aplikasi falak sahaja. Keadaan ini menyebabkan penyelidikan ilmu falak dan cabang sains lain menjadi terhad. Maka skop ilmu falak tertumpu kepada keperluan ibadat sahaja, secara berperingkat aspek aplikasi ilmu falak yang terhad ini dinamakan ilmu miqat, kemudian menjelang 1980-an lebih dikenali di Malaysia sebagai ilmu falak syarie. [Petikan tamat di sini].
Justeru dari segi sejarah ilmu pengetahuan, saya lebih selesa (sesuai, beralasan, citra tersendiri) menggunakan istilah ilmu falak bukan ilmu falak syarie. Dalam beberapa perbincangan dengan komuniti falak di Malaysia memang ada yang tidak senang hati. Menggugurkan istilah ‘syarie’ pada nama ilmu falak satu ‘pengkhianatan sejarah’. Mereka berhujah dengan penuh retorik, nostalgia, memberikan misal dan padan ..... tetapi tewas kerana gol jaringan sendiri .... Jika dari segi sejarah memang ada istilah ‘ilmu falak syarie’, di mana? Dalam zaman sains tamadun Islam? Ilmuwan Alam Melayu? Dalam naskhah falak utama yang mana? Dalam al-Quran, tafsiran falak sebagai satu sistem orbit, maka ilmu falak ialah ilmu tentang alam yang bersistem. Manakala dalam sejarah perkembangan ilmu pengetahuan zaman sains tamadun Islam, ilmu falak ialah ilm al-hai'ah yang memang sudah diasingkan dari ilmu bintang penujuman dan lain-lain aspek yang tidak syarie. Saya minta mereka membezakan antara ‘ilmu falak syarie’ (ilm al-falak asy-syar'i) dengan ‘aplikasi falak dalam syarak atau fikah’ (tatbiiqootu ilm al-falak fit-tasy-syar'i). Jadi tidak perlu dikhususkan kepada syarie lagi ... Masih boleh dirundingkan lagi .... maksudnya isu ini masih boleh dibincang .....

Berbalik kepada bagaimana dualisme ini cuba di‘lapik’ dalam konteks ilmu falak mengikut apa yang saya praktikkan di KUSZA pada awal 1990-an. Apabila mula melaporkan diri untuk memegang jawatan pensyarah kontrak di KUSZA, saya teruja dengan sistem akademiknya dan keramahan kakitangannya. Terdapat sekurang-kurangnya dua orang pensyarah KUSZA yang baru balik dari Universiti Temple USA sering bercakap tentang proses Islamisasi ilmu dan keperluan ‘re-tooling’ pengkhususan ilmu seseorang kakitangan akademik. Setakat yang saya faham dalam mengintegrasikan ilmu (melalui proses Islamisasi ilmu), tenaga pengajar harus bersedia memasukkan elemen Islam dalam P&P. Proses yang lebih kompleks tidak dapat saya fahami ketika itu, malahan apabila membaca kerangka kerja proses Islamisasi ilmu yang begitu berliku, saya lebih berhati-hati. Proses mengintegrasikan ilmu falak sebagai cabang sains Islam (mengikut pandangan saya sendiri) dilakukan dengan penerapan unsur-unsur Islam semasa penyediaan sukatan falak. Mengikut kaedah lama, setiap aplikasi falak dimulakan dengan dalil al-Quran dan Hadis, kemudian aplikasi ini dikaitkan dengan perbincangan fikah dalam mana-mana kitab fikah yang popular. Jadi perbincangan aplikasi terbahagi kepada aspek sains yang berkuantitatif dan penjelasan deskriptif sebagaimana terdapat dalam kitab fikah. Kitab fikah yang digunakan ialah Bidayatul Mujtahid (versi terjemahan terbitan Victory Agencie), Sabilul Muhtadin susunan Syeikh Arsyad al-Banjari dan buku-buku fikah karya Hasbi as-Shiddieqy (seorang ulama yang masyhur di Indonesia, tidak pernah membaca apa-apa kritikan terhadapnya). Kebetulan saya pernah belajar dengan cara ‘mendengar’ kitab Bughyatul Thulab yang kadang kala diselang selikan dengan Sabilul Muhtadin. (Mengikut loghat Melaka, istilah ‘mendengar’ atau ‘mendengau’ ialah pengajian dengan cara mendengar sahaja, tanpa ada kitab di sisi kita, bila dah ada kitab proses itu sudah menjadi ‘menadah kitab’, tapi saya kadang-kadang berpeluang ‘mendengau dan menadah’ bergantung kepada peluang berkongsi naskhah kitab dengan arwah datuk saya). Pendekatan integrasi yang mudah ini diterima (anggapan saya sendiri kerana tiada bantahan ....) kerana ruang kosong dalam pendidikan ilmu falak di KUSZA, malahan di Malaysia ketika itu, saya telah memenuhinya. Pengetahuan saya tentang aplikasi falak dalam fikah diperbaiki semasa saya mengajar Program Sijil Falak KUSZA. Berhadapan dengan sekumpulan ustaz-ustaz yang mempunyai kelulusan dari sekolah pondok hingga ke B.A, menambah pengetahuan saya untuk memperbaiki sukatan, nota kuliah dan bahan mengajar. Selepas hampir 20 tahun mengajar falak dengan sedemikian konsepnya, pada retreat Fakulti Pengajian Kontemporari pertengahan Disember lepas, saya menyedari kerangka integrasi ilmu masih melalui jalan yang berlubang dan berlopak, konsepnya, kaedahnya dan nama ...... Tetapi gomaknya (agaknya/besar kemungkinan) ada jalan yang lurus dan rata di penghujung jalan sana .... Tapi pesan seorang mandur majlis bandaran Melaka yang pernah bekerja zaman British, jangan tampal lopak semasa hari hujan kerana jalan akan rosak semula dengan mudah ............


Baharrudin Zainal
Villa Kamilah,
Kampung Sepetir Rendang,
Jajahan Tok Jembal via
Gong Badak, Kuala Terengganu.

http://baharzai.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment