Friday, July 1, 2011

Kitab Israk dan Mikraj

Setiap 27 Rejab, umat Islam menyambut peristiwa israk & Mikraj dengan pengkisahan semula, tazkirah dan muhasabah diri. Tahun ini, tarikh 27 Rejab 1432 jatuh ketika waktu maghrib Selasa, 28 Jun. Ceramah Israk Mikraj bermula pada minggu ini dan berlarutan agaknya sampai pertengahan Syaaban nanti. Tetapi parti politik tertentu telah mencanangkan tajuk Ceramah Israk & Mikraj ini semenjak awal Rejab lagi. Tidaklah diketahui apa pengisiannya atau tajuk itu hanya merupakan tarikan kepada orang ramai. Secara sinis, ada yang menyatakan antara tanda Israk & Mikraj, apabila surau dan masjid akan dipenuhi jemaah sebelum waktu maghrib lagi. Sama juga keadaannya malam nisfu Syaaban. Begitulah istimewanya kedua-dua malam ini sekurang-kurangnya dari segi budaya orang Melayu. Istilah yang biasa digunakan oleh orang-orang tua kampung saya dahulu (... Kampung Morten ...) bukannya Israk & Mikraj, tetapi ‘Nabi Mikraj’, rasanya tidak salah. Semasa kanak-kanak, saya adik beradik akan diperintahkan oleh ayahanda supaya pergi ke ‘bangsa’ (loghat orang Kampung Morten bagi surau atau madrasah, mungkin juga singkatan dan slang bagi ‘madrasah’). Maka pergilah kami dalam keadaan ‘paksa rela’. Sebab utamanya kerana ceramah yang berlarutan sehingga lepas Isyak dan biasanya kami akan tersengguk-sengguk. Keduanya, perjalanan ke ‘bangsa’ yang terlalu jauh (walaupun jaraknya kurang 400 langkah), Kampung Morten era 1970-an dengan jalan yang becak, gelap dan aroma pada laluan belakang yang kurang menyenangkan. Biasanya yang membaca kisah ‘Nabi Mikraj’ ini ialah iman Masjid Kampung Hulu. Dalam pada itu, pondok mengaji di rumah saya (sebenarnya ruang beranda rumah asal nenek moyang) juga ada mengadakan bacaan ‘Nabi Mikraj’ mengikut masa pengajian Sabtu malam Ahad. Sasaran jemaah pondok pengajian ini ialah orang muda yang ‘hatinya kurang minat ke bangsa’ dan orang tua yang tidak mampu berjalan ke bangsa. Guru agama yang mengajar di pondok pengajian ialah Ustaz Mahmud Tambi Kadir yang mengajar bacaan Yaasin dan berzanji, manakala Ustaz Ahmad Abdul Wahab bagi pengajian hadis dan fikah. Waktu pengajian begitu singkat, tetapi panjang bagi kami kanak-kanak yang belum akhil baligh. Pengajaran bacaan Yaasin antara maghrib dengan isyak dan kuliah pengajian selepas isyak sehingga jam 10.00 malam (ketika itu zon waktu Malaysia +7.5 jam). Sebagai anak tuan rumah, kami adik beradik dipaksa dan terpaksa menjadi jemaah kedua-dua kelas pengajian. Yang seronoknya ialah sesi berzanji, di mana suara saya paling lantang antara kanak-kanak lain dan saya terus minat berzanji. Sekarang, apabila berzanji seorang diri di rumah untuk menghiburkan diri dan anak-anak, kenangan wajah setiap jemaah dan orang-orang tua yang telah pergi (pergi yang tidak akan kembali) terbayang di mata, sehingga kadang-kadang menitikkan air mata.

Berbalik kepada kisah bacaan bacaan ‘Nabi Mikraj’ oleh Ustaz Ahmad, beliau biasanya tidak menggunakan kitab, sebaliknya mengambil satu kisah dan dikupas dengan isu semasa, akidah dan persoalan hidup yang lain. Amat menarik cara penyampaiannya dan tidak keterlaluan dikatakan selepas beliau mula mengajar di pondok rumah saya dan di pondok Kampung Bukit China (rumah bapa saudara saya), nama beliau sebagai penceramah agama memuncak di Bandar Melaka. Bacaan ‘Nabi Mikraj’ ini biasanya akan bermula pada malam Ahad selepas 27 Rejab dan berlarutan sehingga akhir Syaaban, kira-kira enam minggu. Apabila meningkat dewasa jadi orang muda (selepas tamat universiti semasa berusia 22 tahun, pondok mengaji rumah saya sudah ditutup kerana jemaah yang berkurangan), saya pergi belajar agama di Masjid Kampung Hulu (satu minggu 2 kali sahajaKetika inilah saya berpeluang meneliti kitab yang digunakan untuk pembacaan ini, iaitu kitab Kifayatul Muhtaj, susunan Syeikh Dawud al-Fathoni. Dengan harga kurang RM3, kitab ini mampu dimiliki, tetapi terpaksa menunggu tahun berikutnya untuk mengikuti pembacaan dengan penadahan kitab. Setelah berkhidmat di KUSZA sekitar 1990-an, saya mendapat maklumat kelemahan kitab yang menggunakan dalil hadisnya sebahagian daif. Tetapi sebahagian besar pengkisahan dalam kitab ini sama sebagaimana sumber lain yang tidak dipertikaikan. Lebih menarik pada nota keliling (hamisy) terdapat catatan mengenai kejadian alam semesta yang sebahagiannya merupakan petikan karya Syeikh Nurudin ar-Raniri (kurun 17 M). Terdapat petikan-petikan menarik mengenai ciri-ciri fizikal dan astrometri Bulan, Matahari, langit dan unsur-unsur alam semesta. Jika semasa membacanya kita terus membandingkan dengan maklumat semasa, pasti ada perkaitannya. Kecuali sebelum membacanya kita telah mempunyai prasangka negatif. Perkara yang sama juga berlaku dalam semua karya pra-pemodenan. Kata-kata Bung Hamka ini boleh menjadi haluan untuk kita mengkaji nilai yang wujud dalam naskhah dan karya yang sedemikian sifatnya: ‘... setiap membaca sejarah nenek moyang ia akan meninggalkan kesan yang mendalam bagi jiwa kita, apabila lagi bila dibaca dengan rasa cinta. Kian dibaca kian terbayanglah masa-masa yang lampau dan masa lampau meninggalkan kesan yang dalam untuk menghadapi zaman kini dan zaman depan ....’

Allahumma bariklana fii Sya’bana wa balighna Ramadhan .........

Thursday, June 30, 2011

Kita Bertemu Kembali ......

Assalamualaikum wr wb.,

Setelah membisu sekian lama, saya dapat selesaikan juga masalah kata kunci yang terlupa bagi blog ini.

InsyaAllah, saya akan menulis ..

Sunday, September 12, 2010

Ramadhan Mengawa Pecut

Assalamualaikum wr. wb. Selamat Menyambut Hari Raya dengan doa, ‘semoga Allah pertemukan lagi kita dengan Ramadhan tahun hadapan dengan keimanan yang berkekalan, kesihatan dan kemurahan rezki ..... ‘.

Sebagaimana dilaporkan, sebahagian besar negara Islam merayakan Aidil Fitri 1431H pada hari Jumaat bersamaan 10 Oktober 2010. Ada antara negara berkenaan, bulan Ramadhannya mengandungi 29 hari dan sebahagian lain 30 hari. Kedua-dua bilangan hari ini adalah cukup mengikut neraca Allah swt, sebagaimana firmanNya dalam al-Quran (1:185 – sebahagian), ‘ .... dan Dia tidak menghendakki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu mencukupkan bilangan puasa (satu bulan Ramadhan) serta kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur'. Ayat ini menjadi dalil kita menyambut hari raya selepas berpuasa satu bulan (sama ada 29 atau 30 hari). Manakala kaedah kita membesarkan Allah lanjutan tanda bersyukur kerana menyempurnakan ibadat puasa, antaranya dengan bertakbir..... Supaya tidak menimbulkan kekeliruan, maka lafaz takbir khusus ini dinamai takbir hari raya. Ya, lafaz takbir hari raya mengingatkan kita tentang kebesaran Allah, pengulangan tauhid kepada Allah swt serta memuji Allah swt kerana ihsanNya memberi pertolongan kepada hambaNya dan kekuasaan Allah swt juga yang menewaskan musuhNya dengan sendirinya atau dengan caranya. Ada yang menitik airmata kerana menghayati lafaz dan irama takbir ini yang mendayu-dayu ini mengikut versi irama Melayu. Walau bagaimanapun, para ulama telah mengingatkan tentang nilai air mata yang menitik ini. Jika disebabkan terkenang kampung halaman, mengimbau kenangan bersama sifulan dengan sifulan atau kekesalan tidak dapat beraya sakan, air mata ini tidak ada nilai. Biar bergantang air mata yang tubik, tak berguna walau seseng habuk .... Air mata yang bernilai adalah air mata yang menghayati kebesaran Allah, mengharapkan keredhaanNya, kesan bermuhasabah diri dan keralatan kerana gagal menepati petunjuk utama prestasi (KPI) Ramadhan 1431H.

Bulan Ramadhan yang dimulai dengan fasa hilal, berakhir dengan fasa hilal Syawal. Setakat blog ini ditulis (1 Syawal, jam 10 malam), Anak Bulan paling timur kelihatan di Negara Brunei Darussalam dan di Kuala Terengganu sendiri. [Menurut maklumat dalam laman sesawang ICOP, Anak Bulan juga kelihatan di beberapa bandar di Australia dan Marawi City, Selatan Filifina pada petang 9 Sept. 2010]. Walaupun keadaan cuaca di Kuala Terengganu tidak begitu baik, dengan awan setinggi 8 darjah. Tetapi Anak Bulan dengan fasa hampir 2 peratus ini telah kelihatan kira-kira jam 7.00 petang (12 minit sebelum Matahari terbenam) untuk beberapa saat dengan menggunakan teleskop ETX-70 mm. Walau bagaimanapun, ketika waktu Matahari terbenam, kedudukan Anak Bulan ini sudah memasukki awan tebal. Selepas Anak Bulan Syawal, saban bulan kita akan cuba menjejakki Anak-anak Bulan (ahilal), tetapi Anak Bulan Ramadhan paling dinanti-nantikan, kerana Ramadhan adalah penghulu segala bulan. Bulan Ramadhan dengan segala kebesarannya datang dan pergi membawa tanda kegembiraan. Pada pagi Rabu (29 Ramadhan) lepas, sebagai penghulu segala bulan, fasa Bulan sabit tua Ramadhan sempat mengerling di ufuk timur sambil membisikkan bait berikut ......

Insan! Ingatlah!
Aku tidak punya kebesaran,
Aku makhluk Allah jua,
Gerak aku umpama zikir alam kepada Pencipta,
Tugas aku hanya as-sabab kepada manusia.

Insan! Ingatlah!
Aku tinggalkan sebelas lagi anak buah ku,
Semua mereka pasti bertamu,
Jika kamu anggap aku penghulu,
Layanilah mereka sebagaimana ku.

Insan! Ingatlah!
Jika hadirku telah mentarbiahmu,
Tunjukkan akal budi mu bersama anak buahku.
Jika Allah mengikat kejahatan kerana kehadiranku,
Jadikannya kebiasaanmu.

Insan! Ingatlah!
Aku cuma melampiaskan waktu,
Bergerak pada laluan seperti dahulu,
Aku akan bertandang lagi,
Menjadi tetamu sebahagian kamu ...
Terdendeng lagi di ufuk barat tempatmu.

Tapi, Insan! Ingatlah!
Tidak semua dapat menyambutku,
Ada antara kamu akan pergi dahulu .......
Insan! Ingatlah!
Ingatlah, pesananku,
Aku pergi dahulu .....

Sekian coretan untuk pesanan diri sendiri, untuk anak-anakku dan kepada para pelajarku yang sejuk mata memandang ........ Ingat! Ingatlah!

Baharrudin Zainal
Villa Kamilah
Sepetir Rendang, Gong Badak,
Kuala Terengganu.
Hajrat: 3 Syawal 1431H/12 September 2010

Wednesday, September 1, 2010

Weeh ..... Bulang Dah Tubik Pagi .... weeh

Jika diumpamakan bulan Ramadhan itu sebagai komet, Ramadhan kini sudah mencapai titik perihelionnya. Sebagaimana sifat komet yang meluncur datang dari pinggir sistem suria, begitu juga dengan Ramadhan yang datang dan pergi dengan kitaran tersendiri. Ketika komet menghampiri Matahari, debu-debu dan gas yang membentuk jasadnya terlerai kerana kepanasan Matahari, maka bersinarlah komet itu dan berjurailah ′ekornya’. Selepas perihelion komet bergerak keluar dari sistem suria dan akan datang semula mengikut tempoh orbitnya. Ramadhan 1431H, kini sudah berada pada titik perihelionnya. Untuk beberapa hari lagi kecerahan Ramadhan akan terus cerlang sebelum mengawa pecut pada petang 9 September nanti. Insyaallah, mengikut sunatullah, kitaran Ramadhan melalui fasa hilalnya akan bertandang semula 11 purnama lagi. Hari ini (tanggal 2 September 2010, hari Khamis bersamaan 23 Ramadhan 1431), Bulan sudah melepasi fasa suku ketiga. Jika pada awal bulan Ramadhan lepas, bentuk sabitnya membesar ke arah timur, fasa kali ini menunjukkan bentuk sabitnya mengecil ke arah timur pula. Kohor hari kohor kecil, menepati sunatullahnya sebagaimana maksud firman Allah swt dalam al-Quran (36:39), ′ ... dan telah Kami tetapkan bagi Bulan manzilah-manzilah, sehingga kembalilah ia sebagai bentuk tandan yang tua ...’. Mulai fasa suku ketiga juga Bulan akan terbit selepas tengah malam. Malam 3 likur, Bulan terbit sekitar jam 12.40 tengah malam di Kuala Terengganu. Malam 4 likur, kira-kira jam 1.30 pagi, malam 5 likur, jam 2.20 pagi dan seterusnya pada malam 7 likur Bulan terbit jam 4.30 pagi. Kita akan dapat melihat Bulan sabit tua Ramadhan 1431 buat kali terakhirnya pada pagi 7 September 2010 (Selasa). Weeh ….. Bulang dah tubik pagi .... .weeh. Apa maknanya ini? Bulan Ramadhan hendak meninggalkan kita, tiada apa dapat menghalangnya ..... Tuan-tuan guru telah mula membacakan doa, ’Ya Allah pertemukan kami dengan keberkatan dan kemuliaan Ramadhan pada tahun akan datang, pertemukan kami dengannya lagi ya Allah, pertemukan kami dengannya bersama-sama kedua ibu bapa kami, kaum kerabat kami, para sahabat kami, dengan penuh keimanan, kesihatan dan kemurahan rezki .... Ya, semoga Allah pertemukan kita lagi dengan bulan yang penuh berkat ini, Insyaallah.

[Perkataan likur merupakan istilah etnomatematik Jawa bagi nombor selepas 20 yang biasanya digunakan bagi tarikh. Dalam budaya Melayu, perkataan likur biasanya dikaitkan dengan sepuluh malam terakhir bulan puasa. Dari segi semantiknya, istilah ini dapat dikaitkan dengan perkataan, lailatur qadr, yang disingkatkan menjadi laiqadr, kemudian mengalami evolusi menjadi liqadr dan seterusnya menjadi likur, tapi pastinya tidak sama dengan keropok lekur atau Mengabang Lekor.....]

Saturday, August 21, 2010

SUBUH RAMADHAN YANG HENING ........

Alhamdulillah, kita sudah melepasi sepertiga dari bulan Ramadhan. Fasa ‘rahmat’ yang sudah meninggalkan kita dengan kelajuannya tersendiri. Tidak perlu dihitung, malam 1, malam 2, malam 3 dan seterusnya, kerana sunatullah ‘Bulan yang meniti manzilahnya sehingga di akhir peredarannya ....’ (maksud sebahagian ayat al-Quran, 23:39). Girang dan gemilangnya wajah Bulan di langit yang semakin membesar kerana akan mengadap ‘akan Allah’ menjelang purnama nanti. Setiap malam dalam perjalanan kita ke surau atau masjid untuk menunaikan solat isyak dan terawih, sudah pasti mata kita tertumpu kepada ‘wajah qamar’ ini yang kelihatan semakin jauh ke arah timur. Di waktu subuh pula, kita terpandang seketika kepada buruj Orion (disebut juga nama timangannya sebagai ‘bintang Kiblat’) yang terdendeng di pertengahan langit timur.

Memang subuh Ramadhan begitu mengasyikkan, begitu hening, sayup-sayup terdengar bacaan al-Quran dari pembesar suara masjid atau surau. Bukan satu masjid, tetapi beberapa masjid dari beberapa penjuru. Menjelang waktu imsak, sebahagian masjid melaungkan seruan ‘imsak! imsak! imsak’. Saya masih teringat skrip seruan ini dari Masjid Intan Zaharah, Dungun ( .... semasa berkahwin dengan orang Dungun dulu .... sekarang orang Dungun gak ...), tok bilal melaungkannya dengan skrip yang lebih syahdu ‘ ... Wahai kaum muslimin muslimat sekalian, sekarang masuklah waktu imsak, maka berhentilah kamu dari makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa ...’. Di Kuala Terengganu, keheningan subuh ini juga akan digegarkan dengan tembakan ‘bedil’ bagi menandakan tamat waktu bersahur. Agaknya tradisi ini hanya masih bertahan di Kuala Terengganu, sesuai dengan slogannya, ‘negeri cantik, budaya menarik....’. Memang telah menjadi budaya aktiviti ini dilakukan di Kuala Terengganu dan terus dipertahankan. Di Bandar Melaka (.... tanah tumpah darah ku ...), tradisi ini telah lama ditiadakan. Meriam ‘badek’ yang pernah dijadikan bedil, sekarang cuma hiasan di tangga masjid Kampung Hulu, Melaka. [Lihat catatan saya dalam buku Ilmu Falak, ’pipi’ 132]. [Istilah pipi ialah muka surat atau halaman mengikut perbendaharaan bahasa Melayu lama]. Tembakan ‘bedil’ di Kuala Terengganu tidak lagi menggunakan meriam, sebaliknya senapang khas yang dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta dengan pengawasan pihak polis Terengganu. Aktiviti ini mendapat mandat dan biaya dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM). Terasa nak ajak pelajar-pelajar pergi tengok bagaimana aktiviti tersebut dilakukan, tetapi macam-macam hal yang menghalang .... hakaza wakaza ... Dari tempat saya di Gong Badak (kira-kira 15 km dari tempat pelancaran bedil), bunyi bedil sebelah pagi boleh kedengaran, tetapi bedil waktu berbuka jarang sampai ke sini. Pada minggu lepas semasa berbuka puasa di Seberang Takir, bunyi bedil itu begitu kuat dan menggerunkan! Apa pentingnya bedilan ini? Penting lagikah di zaman serba canggih ini? Sebenarnya kaedah bedilan, bunyi siren, pukulan beduk atau pengumuman di radio adalah kaedah amalan petunjuk tanda waktu, bagi menzahirkan maksud al-Quran (2:187-sebahagian), " .... dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai malam ....". Pemerintah bertanggung jawab menetapkan kaedah bagi menetapkan sempadan ’ benang putih dari benang hitam’ ini, dan hamba rakyat perlu mematuhinya. Kaedah ini juga merupakan syiar terhadap kebesaran tanda waktu tersebut, malahan di bulan yang mulia, Ramadhan Kareem ... Menunjukkan penduduk empunya negeri akan melakukan ibadat puasa Ramadhan, syiar itu juga menunjukkan ada kegirangan yang berterusan. Kaedah ini jauh lebih baik dari pukulan kompang, gendang dan permainan alat muzik yang dilakukan oleh sekumpulan pemuda, konon-kononnya untuk mengejutkan orang bersahur. Di bandar Melaka, kaedah ini bukan tradisi, ianya bermula di satu kampung berhampiran, pemuda Kampung Morten ada menirunya, tapi tidak kekal lama. Lebih baik pemuda-pemuda ini dikumpulkan di masjid atau surau untuk mereka bersama-sama merebut fadhilat menjelang waktu subuh. Dikatakan bahawa fadhilat melakukan solat sunat sebelum subuh, ganjarannya ‘bagaikan isi antara langit dan bumi’, malahan pula pada bulan Ramadhan. Bukan seposeng atau dua poseng, ’isi antara langit dan bumi’. Di bulan Ramadhan, gandakan 70 kali .... Mana nak dapat? Jadi pilihlah, yang mana satu pilihan kalbu, wahai pemuda tiang agama ..... Di Terengganu, tradisi pukul kompang dan bergendang tidak diketahui kewujudannya ..... agaknya memang tidak disukai. Sama kesnya dengan patung besar dengan kepala menggeleng-geleng di kedai makanan segera untuk tujuan iklan jualan..... tapi ada anak kecil yang terjerit-jerit ketakutan, demam tak kebah .... Iklan tersebut tidak sesuai, kerana ianya bukan tradisi kita.


Selain bunyi bedil, suasana subuh juga disemarakkan dengan bacaan al-Quran dan terahim subuh. Semasa kecil di kampung halaman di Melaka, bacaan terahim subuh inilah yang menyegarkan kami sekampung dari keadaan ‘musam dan monyok’, dek kerana mengantuk ataupun kekeyangan bersahur, kepada keghairahan mencari-cari dari mana asal suara terahim subuh ini .... oppss dari surau rupa-rupanya. Tarikan utama bacaan ini kerana kemerduan suara pembacanya dengan irama qasidah dan keampuhan makna bacaan terahim subuh itu sendiri. Antara pembaca terahim subuh di kampung saya dahulu ialah Ustaz Mahmud (guru al-Quran saya), Noja Dollah dan Sifudin (semoga Allah rahmati mereka tiga beradik ini), begitu mendayu dan irama yang disesuaikan dengan makna bacaan itu sendiri. Doa dan puji kepada Allah swt yang mendayu-dayu dan merayu-rayu. Tentu bagi seorang muslim yang faham makna bacaan ini akan tersentap hatinya .... Berjalanlah dia berlenggang ke arah suara itu, sambil dia juga mengulangi akan doa dan puji itu dalam hatinya.

Ya Allah Yang Maha Pengasih, rahmatilah kami (diulang 3 kali)
Dan berikan keampunan bagi kami,
Dan maafkan kesalahan kami,
mohon tetapkan ketaatan kepada Mu,
dan tetap bersyukur akan Engkau.
Ya Tuhan yang hidup dan Tuhan yang berdiri dengan sendirinya

Cuba lagukan mengikut lenggok mana-mana lagu Melayu. Jika tidak jadi .... cuba qasidahkan pula mana-mana nasyid popular, rasanya belum dapat menandingi irama dan lirik terahim subuh itu .... Subuh Ramadhan yang hening juga membuatkan rasa rindu dengan kampung halaman, teringat arwah bonda dan nenda-nenda, terkenang ayahanda yang kesepian di sana ...... Inilah roda kehidupan ....... Ya Allah Yang Maha Pengasih, rahmatilah kami, berikan keampunan bagi kami, dan maafkan kesalahan kami ......

Wednesday, July 21, 2010

SEBELUM MALAM SEFU .....

Assalamualaikum, apabila kuliah bermula maka bertambahlah sibuk, bukan buat-buat sibuk. Tidak banyak subjek yang diajar pada semester ini, tetapi saya biasa menyediakan nota sisipan (power point) dan nota esei yang baharu. Kali ini dengan kemudahan P&P melalui talian (dinamai KELIP di UniSZA), secara beransur-ansur terpaksa juga digunakan. Tetapi saya masih meletakkan nota dalam laman sesawang Unit Falak. Selepas kuliah pada minggu kedua, seorang pelajar meminta saya luangkan masa beberapa minit untuk dia bincangkan artikel saya dalam akhbar mengenai gerhana Bulan separa pada 24 Jun lepas. Dia menunjukkan ayat yang saya tulis ..... dalam beberapa kitab fikah, dinyatakan hukum menjangka waktu berlaku gerhana pada asalnya makruh ..... pengaruh kuat ilmu nujum (saya maksudkan ilmu tanjim) dalam ilmu falak atau banyak aktiviti tahyul yang dilakukan masyarakat ketika dahulu ... Budak bertuah ini berkata, mengapa makruh? Tidak terus haram sahaja ...... Ya! Betullah tu ..... Saya tulis makruh, kerana si ahli falak tidak sedar ada pihak yang kemungkinan salah gunakan hitungannya ..... Dalam nota Uztaz Arwani Sali (guru pertama yang mengajar saya penggunaan rubuk mujayyab pada tahun 1987) yang saya semak, tercatat ... 'sekiranya dikhuatiri akan digunakan untuk aktiviti yang tidak sesuai, maka hukumnya makruh ...' Di sini, ahli falak tidak boleh lepas tangan begitu sahaja, mereka kena hati-hati dengan hasil mereka yang dikhuatiri akan disalah gunakan. Maka di samping memberi maklumat tentang sesuatu fenomena, ahli falak juga hendaklah mendidik masyarakat.

Isu kedua, bolehkah catatan mesyuarat (dinamai minit mesyuarat), menulis sesuatu yang bertentangan dengan peraturan atau undang-undang. Misalnya bagi satu mesyuarat Persatuan Bulan Sabit Merah (misal sahaja), catatan minitnya sebagaimana berikut; ... mesyuarat mengambil keputusan tidak akan memberikan pertolongan kepada mangsa banjir bagi tahun ini .... Aneh bukan? Jika terdesak ayat yang lebih baik ialah (contoh sahaja) .... mesyuarat mengambil keputusan untuk bersama-sama dengan pasukan penyelamat agensi lain dalam menghadapi banjir tahun ini. Walau bagaimanapun kekuatan pasukan yang akan dibentuk bergantung kepada sukarelawan yang ada ..... (contoh sahaja). Saya membaca minit yang bertentangan ini dalam satu mesyuarat yang amat penting bagi satu agensi negeri. Saya mempertimbangkan sama ada untuk senyap atau minta respon hadirin. Tapi jenis suka meriahkan suasana, saya lontarkan pertanyaaan 'apakah wajar catatan minit sebegitu rupa?'. Nampaknya ahli mesyuarat memberikan respon berbelah bahagi, ada yang senyap dan ada yang senyum dan ada yang ketawa kecil, pengerusi bersetuju supaya dipinda catatan dan akhirnya terpulang kepada pencatat atau setiausaha mesyuarat mencatatkannya ' .... lagu manapung ....'. Kita sentiasa belajar memperbaiki perjalanan mesyuarat, catatan mesyuarat dan tindakan susulan selepas mesyuarat. Keberkesanan organisasi kita banyak bergantung kepada tiga perkara ini. Apabila urusan mesyuarat tidak cekap, maka tindakan susulan juga tidak cekap.

Isu ketiga, ketika sebilangan pegawai-pegawai falak berbengkel di Besut kira-kira dua minggu lepas, saya mendapat satu sms bertanyakan, '.... GPS membaca utara apa? ...' Saya tidak melayaninya kerana mereka sedang berbengkel, mesti sibuk dengan bunyi ketuk besi, mesin kimpalan dan mesin potong besi ..... Seminggu kemudian, saya diberitahu isu sebenar dengan niat mereka hendak bertanya ketepatan penggunaan GPS. Saya sebenarnya pengguna pasif GPS. Di UniSZA, kami ada beberapa alat GPS jenis Garmin untuk tentu koordinat, tetapi lebih banyak digunakan dalam aktiviti mencari harta karun oleh pelajar. Dalam keadaan kerja yang statik di balai cerap, GPS kurang penggunaannya. Sudah pasti jawapan spontan saya, GPS pada peringkat awal membaca utara magnetik, sehingga tentu kedudukannya dikaliberasi oleh satelit, barulah GPS ini mungkin boleh menunjuk ke arah utara benar. Logik saya ini berdasarkan penggunaan teleskop, selepas dihidupkan dan kesan lokasi, utara yang dirujukkan ialah utara magnetik, sehingga dikaliberasi melalui penjajaran bintang, maka utara dirujukkan pula kepada utara benar. Keadaan ini betul selagi kita berada di stesen yang sama dan teleskop terus menjejak. Berbalik kepada isu 'utara mana yang tepat antara kompas dengan GPS'? Bergantung sejauh mana kita menjaga kompas tersebut dengan mendapatkan selisih sudut. Nilai ini biasanya diperolehi melalui perbandingan dengan cerapan Matahari. Masuk dalam bangunan, kompas ada masalah lain. Tetapi penjajarannya diperbaiki dengan pelan tapak bangunan atau semakan dengan 'garisan bayang terobos Matahari'. GPS? Saya kurang arif kaliberasi dalam bangunan, kecuali bangunan tersebut dilengkapi dengan 'repeater system', di mana GPS membaca isyarat satelit melalui perantara yang terletak di luar bangunan. Apakah GPS yang digunakan untuk penentuan kiblat dalam bangunan ada kemudahan ini. Jika tidak, mutu utara yang ditunjukkan oleh GPS sama dengan kompas. Jika GPS ini boleh membaca utara benar dalam bangunan, bolehlah digunakan untuk penentuan kiblat dalam bangunan.

Isu keempat mengenai malam nisfu Syaaban atau di Terengganu biasa disebut dengan 'malam sefu'. Mengikut takwim rasmi negeri, malam nisfu Syaaban bagi tahun 1431 ialah Isnin malam selasa. Dari segi ilmu falak, 'malam sefu' ini sebagaimana malam purnama lain. Tetapi dari segi aktiviti masyarakat, malam ini ada keistimewaannya. Dengan menolak ke tepi isu sama ada boleh ke tidak boleh sambutan malam nisfu Syaaban, bidaah ke tidak, kita ambil kebaikan amalan untuk diri kita sendiri. Semasa kecil (sekitar 1970-an) di Kampung Morten, malam nisfu Syaaban meninggalkan seribu ingatan. Bagi ibu bapa, pada petang 'hari nisfu', anak-anak dipersiapkan dengan baju yang lebih baik, katanya pergi ke 'bangsa (mungkin asalnya madrasah iaitu surau)', tukar buku baharu, ambil air Yaasin dan ada kenduri ...... Ingat malam nisfu Syaaban, ingat bacaan surah Yaasin tiga kali yang kena dihabiskan dalam masa kurang 40 minit, memang 'lintang kedak', gelagat orang ramai yang membaca. Tapi saya tahu, datuk saya (yang menjadi imam) tidak membaca tiga kali, dia baca sekali sahaja ..... dia membaca dalam keadaan matanya pejam, sesekali dia jeling kepada cucu-cucunya dengan isyarat (agaknya) jangan 'lintang kedak'. Tetapi malam nisfu Syaaban juga mengingatkan kita Ramadhan yang akan menjelang tiba, bersediakah kita? Kini, di kebanyakan tempat termasuk di kampung saya di Melaka, bacaan Yaasin tiga kali tidak lagi diadakan, sebaliknya dengan sekali bacaan atau dengan program ceramah sahaja. Begitu juga di Terengganu, malam nisfu Syaaban kini dipenuhi dengan aktiviti 'menjelang Ramadhan' .... dipenuhi dengan ceramah atau tazkirah ringkas. Pasar minggu malam nisfu Syaaban akan lebih lengang berbanding dengan malam lain, kuih muih di pasar Batu Enam atau simpang Panji Alam akan habis lebih awal pada malam nisfu Syaaban. Kenapa? Tempahan kuih dihantar terus ke surau atau orang tidak membuatnya kerana '...malam sefu ...'. Disiplinnya, sambutan nisfu Syaaban menandakan kegirangan berterusan menyambut tetamu Ramadhan di ambang pintu, semakin rancak doa yang sama diulang .... Ya Allah berkatilah kami di bulan Syaaban dan pertemukan kami dengan Ramadhan ....

Sekian yang dapat dilacakkan kali ini .....

Sunday, July 11, 2010

GERHANA RUBUK DAN MENJEJAK BARANG BERTANDUK ….

Ketika fasa Bulan purnama lepas (26 Jun 2010), kita telah dapat melihat gerhana Bulan separa. Berdasarkan siaran berita, fenomena ini tidak dapat dilihat dengan baik di Kuala Lumpur kerana cuaca yang tidak mengizinkan. Namun di pantai timur Malaysia, khususnya di Balai Cerap KUSZA, keadaan lebih baik. Fasa Bulan mula kelihatan kira-kira jam 7.32 malam dalam bentuk ‛sukuan’ bukan separa (lihat gambar dalam laman web Unit Falak UniSZA). Bentuk ini disebabkan awan tebal yang menutup sebelah kiri Bulan, sebaliknya sebelah kanan kelihatan dalam bentuk sukuan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, apabila berlaku gerhana Bulan, ada sedikit kekeliruan masyarakat tentang waktu berakhirnya gerhana. Kebanyakan maklumat dalam laman sesawang termasuk dalam takwim rasmi negeri menulis waktu gerhana berakhir jam 10.19 malam. Maklumat ini mereka perolehi dari sesuatu sumber lain yang mereka tidak tapis dan sesuaikan dengan tempoh tuntutan melakukan solat sunat gerhana. Fasa penumbra bukan lagi fasa gelap yang termasuk dalam tempoh tuntutan melakukan solat. Sepatutnya, pada 26 Jun lepas, waktu gerhana berakhir ialah jam 9.00 malam dan bukannya 10.19 malam. Ketika sedang sibuk menyaksikan fasa gerhana ini, saya juga terpaksa membuat penjelasan dalam telefon pertanyaan ini. Ini bukan persoalan menurut ‛hisab’ gerhana masih berlaku dan menurut cerapan langsung ‛gerhana tidak kelihatan’. Jelasnya, tuntutan solat sehingga fasa gelap disebabkan gerhana habis. Dalam keadaan tertentu jika kedudukan Bulan apogi dan Bulan berada hampir dengan sisi zon bayangan Bumi, bayang yang redup mungkin boleh kelihatan untuk tempoh beberapa minit lagi. Tetapi ianya tidaklah berpanjangan gelap. Sebaliknya cerapan nampak hampir tidak dapat membezakan antara kedudukan fasa penumbra dengan Bulan purnama yang sempurna.

Walau di manapun kita berada dan sesibuk macam manapun kita semasa melakukan cerapan, proses akhir seseorang pencerap muslim ialah ‛lil taabbudi ilallah’, menjunjung perintah Allah, merebut amalan ‛sunnah’. Rugilah mereka yang ketinggalan melakukan solat ini kerana kesibukan, kerana ketidakperasan, ketidaksiap sediaan dan berbagai lagi alasan. Malahan pernah dikatakan oleh seorang tuan guru (tak ingat dalam kuliah mana), kelebihan solat sunat gerhana ini lebih ‛muakadd’ dari solat idul Fitri dan Adha. Ini disebabkan gerhana Bulan dan Matahari kurang kekerapan berlakunya berbanding dengan solat sunat raya yang pastinya setahun dua kali. Kepada mereka yang kemudiannya rasa ralat, pesan saya ‛..... dema tunggullah 17 purnama lagi ....’ di mana gerhana Bulan seterusnya di Malaysia adalah pada 10 Disember 2011.

Pada 12 Julai ini pula, para peminat falak akan menjejak Anak Bulan Syaaban 1431H. Dengan sifat Anak Bulan kurang 16 jam, penjejakannya menjadi cabaran kepada setiap pencerap. Bukan setakat untuk menambah data empirik, bukannya menyusun rekod peribadi bagi cerapan termuda, tetapi bagi ‛ ..... lil taabbudi ilallah .....’. Khabarnya ramai pegawai falak negeri-negeri berkumpul di Pulau Perhentian, Besut. Tapi saya bersama pelajar saya akan terus berada di Balai Cerap KUSZA. Di sini ... cinta dan kasihku .... terhadap ilmu ini ku semai dan ku dilempiaskan ..... Terasa seronok (bukan syok sendiri) bila berada bersama sekumpulan pelajar ku yang setia .... bergilir-gilir menjejak menggunakan beberapa jenis peralatan yang terdapat di sini ..... bercerita kepada mereka petua menjejak ‛barang yang bertanduk ini’... Mereka juga kadang-kadang menjadi guru kepada ku pula apabila membetulkan sebutan dan ejaan Arab yang dimelayukan .... Bertuah punya budak ......

Cerapan Anak Bulan Syaaban kali ini juga menarik kerana Bulan ditemani oleh dua lagi cakerawala, planet Utarid 6 darjah lebih tinggi dari Bulan dan planet Zuhrah berada kira-kira 30 darjah di atas ufuk ketika Matahari terbenam. Aktiviti mencari dan menjejak Anak Bulan sebenarnya melatih pencerap beberapa kemahiran dan menimba pengalaman baharu. Keadaan pada setiap kali kenampakan pertama Anak Bulan tidak sama. Setiap kejayaan mencerap Anak Bulan termuda ini ada perkara baharu yang dipelajari. Bagi cerapan Bulan sabit tua Rejab 1431 H pada pagi Ahad lepas (11 Julai 2010), saya sendiri mengambil ikhtibar dua perkara. Pertama, gangguan psikologi sehingga saya terlupa membezakan perubahan kecerlangan Bulan ketika cerapan pagi dengan cerapan petang. Sebaik sahaja Bulan sabit dengan fasa 1 peratus ini kelihatan dengan teodolit (kira-kira jam 6.25 pagi) dan beberapa orang rakan mengesahkannya, saya terus mengendalikan teleskop dan binokular, terlupa untuk merakamkannya secara fotografik. Dalam igauan saya, tunggulah sehingga Bulan lebih cerah dan mudah merakamkan. Tapi saya terlupa sifat barang bertanduk ini, sebelah pagi semakin lama semakin malap, berbanding dengan cerapan petang yang semakin lama semakin cerlang. Nasib baik saudara Hirman sempat merakamkannya. Kedua, pengalaman menjajar teleskop menggunakan bintang altitud tinggi berbanding altitud rendah atau pertengahan. Bagi teleskop alta azimut, lebih baik menjajar menggunakan bintang altitud pertengahan .... Memang ada perbezaan panjang sabit Bulan ketika musim perigi ataupun apogi. Saya rasa bentuk Bulan pada petang ini hampir sama dengan bentuk Bulan termuda yang dirakamkan pada 4 Jun 2008 lepas ...... Walllah A'alam .....