Saturday, August 20, 2011

Sms Berantai, Muslihat Siapa?

Assalamualaikum wr. wb.

Ramadhan telah berada di titik perihelion. Jika komet berada pada kedudukan ini, cahayanya akan cerlang kerana komanya yang bersinar dan ekornya yang memanjang. Melihat komet ketika perihelion merupakan satu pengalaman yang mengasyikkan. Begitulah Ramadhan yang digambarkan seumpama komet yang datang bertamu, menghayati Ramadhan pada peringkat ini juga mengasyikkan. Fasa Bulan di langit juga sudah melepasi suku ketiga sesuai dengan tarikh takwim. Pada pagi 19 Ramadhan (Jumaat), Bulan berada hampir dengan planet Musytari menjelang waktu subuh. Keadaan cuaca begitu baik, tetapi meneropongnya bukan aktiviti yang sesuai di pagi Ramadhan. Pagi Jumaat lepas ketika waktu 'dhoha kabeer' saya ada menerima panggilan telefon daripada Ustaz Zamri (pengacara radio IKIM, beliau merupakan alumni KUSZA tahun 1996), bertanyakan tentang ‘sms berantai’ , ‘Bulan akan mengelilingi Kaabah’. Tambah menarik sms ini dinyatakan sumbernya daripada ‘Dr. Mazlan pakar astrologer’. Jawapan spontan saya, ‘mengarut’ dan berjanji akan berikan maklumat teknikal kedudukan Bulan berdasarkan waktu dan lokasi Mekah. Maklumat teknikal yang dapat saya panjangkan kepada beliau hanya mengenai waktu istiwa Bulan di Mekah dan pengesahan Bulan tidak akan berada pada titik ghayah Mekah pada waktu yang dinyatakan dalam sms berkenaan. Bagaimana Bulan boleh mengelilingi Kaabah juga menjadi cerita ‘mengarut kuasa tiga’. Sesuatu yang hendak mereka dikaitkan dengan lailatur qadr? Sesuatu yang menunjukkan perkara ajaib berlaku atas nama Ramadhan, kota suci Mekah dan karamah seseorang (entah siapa?). Selepas itu beberapa sms dan penggilan telefon daripada rakan-rakan dan pelajar. Saya hanya memanjangkan sms yang sama sebagai jawapan kepada mereka. Nampaknya taktik ‘serangan sms berantai waktu subuh’ ini berjaya mengaktifkan talian sms atau telefon yang begitu besar jumlahnya. Begitu mudah bagi syarikat telekomunikasi meraih sedikit keuntungan dari taktik surat berantai ini. Sebelah malamnya ada siaran media dari ANGKASA yang menafikan fenomena sedemikian rupa. Bagi mereka yang ketinggalan, pada pagi Sabtu mereka masih panjangkan sms berkenaan, entahkan bertanya entahkan memanjangkan sms berantai tersebut. Fenomena 'Bulan mengelilingi Kaabah' dalam konteks bulatan harian (terbit dan terbenam Bulan) hanya boleh berlaku 'jika dan hanya jika'; (i) Mekah terletak di kutub utara atau selatan Bumi, (ii) Bulan berada dalam kategori 'bintang circumpolar'. Kedua-dua syarat ini tidak dipenuhi, Mekah terletak berhampiran garisan Sartan dan Bulan merupakan objek samawi dalam kategori 'kawakibul saiyarah' dengan 'terangkatnya dari khatulistiwa langit' tidak melebihi 28.5 derajat. Sms berantai ini merupakan antara beberapa fenomena falak palsu yang dilaporkan, sama seperti planet Marikh akan terbit dari barat dan saiz planet Marikh sebesar Bulan purnama. .... feneng ana punya kepala ..., jika jawab kita akan menjadian rantaian pemberitaan palsu, tidak dijawab orang asyik bertanya, kata setengah orang pula 'diam itu tandanya redha', guana? guana? Tak do kojo, cari kojo, ada kojo congang-congang....

Cerita yang kedua ini tiada muslihat, setakat ingin kongsikan bersama dalam bebelan ini. Pada cuti Nuzul Quran hari Rabu lepas, saya dan isteri pergi ke sebuah pasaraya hyperRuncit di Kuala Terengganu. Apabila berada di pasaraya ini, sentimen kita akan terusik dengan poster-poster anti Zionis dan sokongan terhadap perjuangan Palestin. Memang suasana membeli-belah di pasaraya ini berlainan sedikit berbanding dengan pasaraya lain di Kuala Terengganu. Semasa mula masuk ke pasaraya ini saya terpandang seorang ibu muda yang rupanya seakan-akan alumni sijil falak KUSZA. Oleh kerana beliau tidak menegur saya, mungkin beliau bukan pelajar saya. Dalam bulan puasa ini, tak boleh tengok lama-lama, setakat nak tahu, kenal atau tidak sahaja. Di pasaraya ini juga terdapat kaunter zakat yang saya lihat boleh tahan sibuknya pokcik amil melayan orang ramai. Saya dan isteri memutuskan untuk membayar zakat di kaunter ini sahaja kerana kebetulan memang nak selesaikannya secepat mungkin. Ketika berada di kaunter zakat ini, sekali lagi saya terserempak dengan ibu muda tersebut yang sedang membayar zakat. Beliau mengeluarkan wang RM1000 untuk tujuan ini. Walaupun tergagap-gagap menyebut niat zakat, beliau akhirnya berjaya mengulangi niat yang dibacakan oleh pokcik amil. Saya kagum mendapati seorang ibu muda (ikut fesengan begitulah statusnya) yang begitu prihatin menunaikan tanggungjawabnya mengeluarkan zakat. Selepas beliau pergi, saya dan isterinya menunaikan tanggung jawab berzakat. Dalam kereta saya menyebut rasa kagum saya terhadap ibu muda berkenaan kepada isteri saya. Tahu, apa respon ‘Mem besar’ saya? .... Dah jika nampak baik sangat, kenapa tak minta nombor telefon tadi, boleh berkenalan ... Eh eh eh, bulan puasa ini tak baik buruk sangka tau .... Saya setakat memuji sahaja. Perlakuan mereka memang perlu dipuji, walaupun tak kenal setaram. Pernah berlaku suatu masa dahulu di pasar besar Melaka, saya mendapati seorang ibu muda enggan menerima dan membayar harga ayam yang dibelinya kerana katanya ‘.... muri ayam tak putus, ayam ini jadi bangkai, saya tak mahu beli .....', tercongang-congang tokeh ayam tu. Jangan buat main dengan kaum hawa ini, tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang Bumi ... jangan jadi tsunami dah le ......

Selamat memanfaatkan minggu-minggu akhir Ramadhan ini dan sama-sama berdoa agar Allah redhakan kita, jika tidak redhapun, ampunilah kita ......

Tuesday, August 16, 2011

Purnama Ramadhan dan Malam Qunut

Assalamualaikum,

Pada tanggal 16 Ramadhan 49 tahun yang lepas, seorang wanita mulia melahirkan seorang anak lelaki ketika waktu subuh. Budak lelaki ini kemudiannya diberi nama Baharrudin dengan nama timangannya Ariffin. Wanita mulia yang bernama Rahmah Binti Abdul Kadir itu sering menceritakan tentang beliau yang mula sakit untuk melahirkan anaknya ketika malam qunut. Almarhumah juga merupakan antara individu yang paling ingat tarikh lahirku dan sering mengucapkan selamat untuk anaknya ini setiap kali malam qunut. Tarikh 16 Ramadhan 1383H sepadan dengan tarikh miladi 31 Januari 1964. Begitulah catatan dalam daftar kelahiran bagi seorang warga yang sah. Bagi tahun 1432H, tarikh 16 Ramadhan bersamaan 16 Ogos 2011. Bacaan doa qunut ketika solat witir mula dibacakan pada malam selasa. Selepas kematian ibuku, tiada siapapun yang ucapkan selamat ulang tahun. Memang tarikh lahir dalam takwim Hijri kurang diberi perhatian ….

Mengikut jadual fasa Bulan, fenomena purnama Ramadhan 1432H berlaku pada 14 Ogos (Ahad), jam 2.58 pagi. Justeru, menjelang waktu maghrib (malam Isnin) menjadi malam 15 atau malam Bulan purnama. Mengikut konsep kualitatif takwim qamariah, malam purnama hanya boleh berlaku pada malam 14 atau malam 15. Tetapi dalam kaedah takwim yang dipraktikkan, malam purnama kemungkinan boleh terlajak sampak malam 16. Pernah pada satu masa, seorang mufti bertanya kepada saya mengapa gerhana Bulan berlaku pada malam 16? Jawapan mudah yang saya berikan; mengikut takwim Malaysia malam 16, tetapi jika ada negara yang lambat memulakan awal bulannya, negara berkenaan kemungkinan masih malam 15. Bulan dalam keadaan purnama mesti bulat sepenuhnya. Selain itu, antara ciri lain untuk menentukan malam purnama adalah dengan memerhatikan waktu-waktu terbenam Matahari dan terbit Bulan. Jika ketika terbenam Matahari, Bulan sudah terdendeng di langit timur, malam berkenaan belum lagi malam purnama. Tetapi jika Bulan hanya kelihatan sejurus selepas maghrib, malam tersebut malam purnama. Berdasarkan ufuk Kuala Terengganu, pada tanggal 14 Ramadhan (14 Ogos) lepas, Bulan terbit 20 minit selepas Matahari terbenam. Menunjukkan malam Isnin menjadi malam Bulan purnama. Dalam kaedah takwim Hijri tradisional, menjadi amalan para alim ulama atau ahli-ahli falak silam mencerap waktu-waktu terbenam Matahari dan terbit Bulan ketika pertengahan bulan Rejab atau Syaaban. Langkah ini membolehkan mereka menetapkan tarikh rukyah Anak Bulan Ramadhan yang lebih tepat. Justeru, walaupun takwim Hijri pada masa dahulu menggunakan takwim jenis urfi (berselang seli 30 dan 29 hari), hari rukyahnya dipastikan betul jatuh pada hari ke 29.


Thursday, August 11, 2011

Antara Bedil dengan Terahim Subuh

Assalamualaikum,

Coretan kali ini sekadar mengulangi bebelan semusim yang lalu.....

Ramadhan tahun ini dikatakan berada dalam musim panas. Memang cuaca agak panas dan memeritkan sedikit, tetapi menjelang senja cuaca boleh berubah secara drastik. Tempat kita berdiri panas berdengkang, tetapi nun hujung sana kelihatan awan hitam yang pekat. Angin yang mulanya skala sepoi-sepoi, menjadi menderu dan sekonyong-konyong terjadi ribut. Hujan berderau seketika dan kemudian keadaan menjadi panas semula. Dalam pada itu kita terus menjalani ibadat puasa. Alhamdulillah, kita sudah melepasi sepertiga dari bulan Ramadhan. Fasa ‘rahmat’ yang sudah meninggalkan kita dengan kelajuannya tersendiri. Tidak perlu dihitung, malam 1, malam 2, malam 3 dan seterusnya, kerana sunatullah ‘Bulan yang meniti manzilahnya sehingga di akhir peredarannya ....’ (maksud sebahagian ayat al-Quran, 23:39). Girang dan gemilangnya wajah Bulan di langit yang semakin membesar kerana akan mengadap ‘akan Allah SWT’ menjelang purnama nanti. Setiap malam dalam perjalanan kita ke surau atau masjid untuk menunaikan solat isyak dan terawih, sudah pasti mata kita tertumpu kepada ‘wajah qamar’ ini yang kelihatan semakin jauh ke arah timur. Di waktu subuh pula, kita terpandang seketika kepada buruj Orion (disebut juga nama timangannya sebagai ‘bintang Kiblat’) yang terdendeng di pertengahan langit timur.

Memang subuh Ramadhan begitu mengasyikkan, begitu hening, sayup-sayup terdengar bacaan al-Quran dari pembesar suara masjid atau surau. Bukan satu masjid, tetapi beberapa masjid dari beberapa penjuru. Menjelang waktu imsak, sebahagian masjid melaungkan seruan ‘imsak! imsak! imsak’. Saya masih teringat skrip seruan ini dari Masjid Intan Zaharah, Dungun ( .... kebetulan isteri pertama orang Dungun....), tok bilal melaungkannya dengan skrip yang lebih syahdu ‘ ... Wahai kaum muslimin muslimat sekalian, sekarang masuklah waktu imsak, maka berhentilah kamu dari makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa ...’. Di Kuala Terengganu, keheningan subuh ini juga akan digegarkan dengan tembakan ‘bedil’ bagi menandakan tamat waktu bersahur. Agaknya tradisi ini hanya masih bertahan di Kuala Terengganu, sesuai dengan slogannya, ‘negeri cantik, budaya menarik....’. Tembakan ‘bedil’ di Kuala Terengganu tidak lagi menggunakan meriam atau senapang khas, sebaliknya merupakan ledakan bunga api. Pada Ramadhan tahun lepas, Unit Falak UniSZA berpeluang melihat aktiviti meledak bunga api ini. Kerja-kerja ini dikendalikan oleh sebuah syarikat swasta dengan pengawasan pihak polis Terengganu. Kakitangan syarikat ini akan mengambil stok bunga api di Balai Polis Kuala Terengganu (disimpan untuk tujuan keselamatan) kira-kira satu jam sebelum maghrib dan subuh. Sebelah petang sebutir bunga api digunakan, sementara sebelah pagi digunakan dua butir. Penjodoh bilangan yang saya guna untuk bunga api ini ialah 'butir' kerana bentuk bunga api ini macam buah kelapa tua dengan diameter lebih kurang satu kaki. Bunga api ini diletakkan dalam corong khas (macam besi paip besar) yang ditanam separuh dalam tanah. Ledakan dibuat secara kawalan elektrik oleh operator yang berada kira-kira 60 kaki dari corong ledakan ini. Percikan bunga api sebelah pagi lebih menarik berbanding waktu maghrib. Segala-galanya selesai dalam tempoh kurang dua minit, para petugas akan mengemaskan peralatan dan tempat ledakan itu menjadi lengang. Apa pentingnya bedilan ini dalam zaman serba canggih ini? Sebenarnya kaedah bedilan, bunyi siren, pukulan beduk atau pengumuman di radio adalah kaedah amalan petunjuk tanda waktu, bagi menzahirkan maksud al-Quran (2:187-sebahagian), " .... dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai malam ....". Pemerintah bertanggung jawab menetapkan kaedah bagi menetapkan sempadan ’ benang putih dari benang hitam’ ini, dan hamba rakyat perlu mematuhinya. Kaedah ini juga merupakan syiar terhadap kebesaran tanda waktu tersebut, malahan di bulan yang mulia, Ramadhan Kareem ... Menunjukkan penduduk empunya negeri akan melakukan ibadat puasa Ramadhan, syiar itu juga menunjukkan ada kegirangan yang berterusan. Kaedah ini jauh lebih baik dari pukulan kompang, gendang dan permainan alat muzik yang dilakukan oleh sekumpulan pemuda, konon-kononnya untuk mengejutkan orang bersahur.

Selain bunyi bedil, suasana subuh juga disemarakkan dengan bacaan al-Quran dan terahim subuh. Semasa kecil di kampung halaman di Melaka, bacaan terahim subuh inilah yang menyegarkan kami sekampung dari keadaan ‘musam dan monyok’, dek kerana mengantuk ataupun kekeyangan bersahur, kepada keghairahan mencari-cari dari mana asal suara terahim subuh ini .... oppss dari surau rupa-rupanya. Tarikan utama bacaan ini kerana kemerduan suara pembacanya dengan irama qasidah dan keampuhan makna bacaan terahim subuh itu sendiri. Antara pembaca terahim subuh di kampung saya dahulu ialah Ustaz Mahmud (guru al-Quran saya), Noja Dollah dan Sifudin (semoga Allah rahmati mereka tiga beradik ini), begitu mendayu dan irama yang disesuaikan dengan makna bacaan itu sendiri. Doa dan puji kepada Allah swt yang mendayu-dayu dan merayu-rayu. Tentu bagi seorang muslim yang faham makna bacaan ini akan tersentap hatinya .... Berjalanlah dia berlenggang ke arah suara itu, sambil dia juga mengulangi akan doa dan puji itu dalam hatinya.

Ya Allah Yang Maha Pengasih, rahmatilah kami (diulang 3 kali)
Dan berikan keampunan bagi kami,
Dan maafkan kesalahan kami,
mohon tetapkan ketaatan kepada Mu,
dan tetap bersyukur akan Engkau.
Ya Tuhan yang hidup dan Tuhan yang berdiri dengan sendirinya

Subuh Ramadhan yang hening juga membuatkan rasa rindu dengan kampung halaman, teringat arwah bonda dan nenda-nenda, terkenang ayahanda yang kesepian di sana ...... Inilah roda kehidupan ....... Ya Allah Yang Maha Pengasih, rahmatilah kami, berikan keampunan bagi kami, dan maafkan kesalahan kami ......

Tuesday, August 2, 2011

Ada Tulang Tersangkut di Tekak

Assalamualaikum wr wb.,

Selamat Berpuasa, semoga tekad untuk mengisi aktiviti dalam bulan yang mulia ini terlaksana. Begitu juga dengan doa kita semoga Allah kurniakan kita kesihatan dan kesabaran mengatasi masalah kesihatan sepanjang bulan ini. Mungkin bukannya disebabkan penyakit kronik sangat, hanya ada yang kena seduan, migrain, batuk, telinga berdengung dan sakit tekak. Keadaan akan lebih teruji menjelang petang, tetapi semua ini akan hilang sebaik sahaja seteguk air masuk ke tekak apabila azan berkumandang.... Hilang segala migrain dan dengungan .....

Pada 29 Syaaban lepas, bertempat di Balai Cerap KUSZA, UniSZA, Merang, Setiu, Terengganu telah diadakan ceramah pra-rukyah. Biasanya ceramah ini akan disampaikan oleh saya sendiri atau Encik Ahmad Taufan, tetapi kali ini disampaikan oleh Ustaz Sabaruddin Othman (mudir Pondok Lancang, Temerloh). Tajuk ceramah yang diberikan; Rukyah Sebagai Kaedah Asal Penentuan Awal Ramadhan. Ustaz Sabaruddin (merupakan alumni Sijil Falak KUSZA tahun 1994) merupakan seorang yang berpegang kepada konsep rukyah bagi penentuan awal Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah. Semasa belajar di KUSZA lagi, beliau sering bertentang pendapat dengan saya dalam perkara rukyah dan hisab. Namun, senario ini tidak menghilangkan rasa hormat antara kami berdua. Sebaik beliau tamat belajar di KUSZA dan kembali mengajar di Pondok Pasir Tumboh, kami masih saling berhubung dan berbincang pelbagai perkara mengenai ilmu falak. Biasanya topik rukyah dan hisab saya cuba elakkan, kerana suasana akan jadi panas dan kopiah putih Ustaz akan jadi lebih tajam ...Semasa ceramah pra-rukyah di Balai Cerap KUSZA, minggu lepas, saya lebih fokus kepada isu yang beliau dibangkitkan ..... memang ada tulang tersangkut di tekak .... Tulang ini biasanya kecil, macam tulang ikan terubuk, tetapi bila tersangkut di tekak, ianya menyakitkan.... Antara isu yang Ustaz Sabaruddin dibangkitkan ialah:
(1) kaedah pra-penetapan yang bercanggah dengan konsep rukyah.
(2) maklumat nampak atau tidak nampak Anak Bulan yang tidak diumumkan, menunjukkan seolah-olah pengamalan rukyah bukan keutamaan.
(3) penggunaan syarat kenampakan Anak Bulan yang tidak releven.

Bagi saya, isu (1) termasuk dalam pengurusan takwim atau pengurusan rukyah dan hisab di Malaysia. Tanpa mekanisme pra-penetapan ini, takwim tidak dapat disusun untuk kegunaan awam yang lebih meluas. Manakala isu (2) berkaitan teks pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, ianya hanya merupakan syiar terhadap pengamalan rukyah itu sendiri. Laporan nampak atau tidak nampak Anak Bulan berada dalam rekod pelbagai agensi yang mengendalikan aktiviti rukyah pada petang berkenaan. Bagi isu (3), saya percaya syarat minimum ini (tinggi Bulan > 2 darjah dan jarak sendeng > 3 darjah atau umur Bulan 8 jam) akan diperbaiki sedikit masa lagi bagi menyesuaikan takrifan ' .... hisab qat'i yang menunjukkan Anak Bulan ada dan boleh kelihatan ...'. Selepas hampir 20 tahun syarat minimum ini digunakan, kritikan oleh Ilyas (1995), model baharu oleh Baharrudin (2003) dan kajian lanjutan oleh kumpulan penyelidikan Universiti Malaya membolehkan syarat kenampakan Anak Bulan yang lebih sesuai digunakan nanti. InsyaAllah, sedikit demi sedikit tulang ikan itu akan lekang dan terjeluak .....

Aktiviti rukyah Anak Bulan Ramadhan 1432 yang diadakan di Balai Cerap KUSZA minggu lepas, merupakan paling meriah yang pernah saya saksikan selepas hampir 20 tahun mengendalikan aktiviti ini atas kapasiti pensyarah KUSZA/UniSZA. Sesuai dengan fungsi balai cerap ini untuk memasyakatkan sains (dalam konteks aplikasi ibadat), orang ramai tidak dihalang untuk bersama-sama melakukan rukyah. Sesuai dengan moto UniSZA, Ilmu Demi Faedah Insan .....

Sekian, Selamat Berpuasa

Friday, July 1, 2011

Kitab Israk dan Mikraj

Setiap 27 Rejab, umat Islam menyambut peristiwa israk & Mikraj dengan pengkisahan semula, tazkirah dan muhasabah diri. Tahun ini, tarikh 27 Rejab 1432 jatuh ketika waktu maghrib Selasa, 28 Jun. Ceramah Israk Mikraj bermula pada minggu ini dan berlarutan agaknya sampai pertengahan Syaaban nanti. Tetapi parti politik tertentu telah mencanangkan tajuk Ceramah Israk & Mikraj ini semenjak awal Rejab lagi. Tidaklah diketahui apa pengisiannya atau tajuk itu hanya merupakan tarikan kepada orang ramai. Secara sinis, ada yang menyatakan antara tanda Israk & Mikraj, apabila surau dan masjid akan dipenuhi jemaah sebelum waktu maghrib lagi. Sama juga keadaannya malam nisfu Syaaban. Begitulah istimewanya kedua-dua malam ini sekurang-kurangnya dari segi budaya orang Melayu. Istilah yang biasa digunakan oleh orang-orang tua kampung saya dahulu (... Kampung Morten ...) bukannya Israk & Mikraj, tetapi ‘Nabi Mikraj’, rasanya tidak salah. Semasa kanak-kanak, saya adik beradik akan diperintahkan oleh ayahanda supaya pergi ke ‘bangsa’ (loghat orang Kampung Morten bagi surau atau madrasah, mungkin juga singkatan dan slang bagi ‘madrasah’). Maka pergilah kami dalam keadaan ‘paksa rela’. Sebab utamanya kerana ceramah yang berlarutan sehingga lepas Isyak dan biasanya kami akan tersengguk-sengguk. Keduanya, perjalanan ke ‘bangsa’ yang terlalu jauh (walaupun jaraknya kurang 400 langkah), Kampung Morten era 1970-an dengan jalan yang becak, gelap dan aroma pada laluan belakang yang kurang menyenangkan. Biasanya yang membaca kisah ‘Nabi Mikraj’ ini ialah iman Masjid Kampung Hulu. Dalam pada itu, pondok mengaji di rumah saya (sebenarnya ruang beranda rumah asal nenek moyang) juga ada mengadakan bacaan ‘Nabi Mikraj’ mengikut masa pengajian Sabtu malam Ahad. Sasaran jemaah pondok pengajian ini ialah orang muda yang ‘hatinya kurang minat ke bangsa’ dan orang tua yang tidak mampu berjalan ke bangsa. Guru agama yang mengajar di pondok pengajian ialah Ustaz Mahmud Tambi Kadir yang mengajar bacaan Yaasin dan berzanji, manakala Ustaz Ahmad Abdul Wahab bagi pengajian hadis dan fikah. Waktu pengajian begitu singkat, tetapi panjang bagi kami kanak-kanak yang belum akhil baligh. Pengajaran bacaan Yaasin antara maghrib dengan isyak dan kuliah pengajian selepas isyak sehingga jam 10.00 malam (ketika itu zon waktu Malaysia +7.5 jam). Sebagai anak tuan rumah, kami adik beradik dipaksa dan terpaksa menjadi jemaah kedua-dua kelas pengajian. Yang seronoknya ialah sesi berzanji, di mana suara saya paling lantang antara kanak-kanak lain dan saya terus minat berzanji. Sekarang, apabila berzanji seorang diri di rumah untuk menghiburkan diri dan anak-anak, kenangan wajah setiap jemaah dan orang-orang tua yang telah pergi (pergi yang tidak akan kembali) terbayang di mata, sehingga kadang-kadang menitikkan air mata.

Berbalik kepada kisah bacaan bacaan ‘Nabi Mikraj’ oleh Ustaz Ahmad, beliau biasanya tidak menggunakan kitab, sebaliknya mengambil satu kisah dan dikupas dengan isu semasa, akidah dan persoalan hidup yang lain. Amat menarik cara penyampaiannya dan tidak keterlaluan dikatakan selepas beliau mula mengajar di pondok rumah saya dan di pondok Kampung Bukit China (rumah bapa saudara saya), nama beliau sebagai penceramah agama memuncak di Bandar Melaka. Bacaan ‘Nabi Mikraj’ ini biasanya akan bermula pada malam Ahad selepas 27 Rejab dan berlarutan sehingga akhir Syaaban, kira-kira enam minggu. Apabila meningkat dewasa jadi orang muda (selepas tamat universiti semasa berusia 22 tahun, pondok mengaji rumah saya sudah ditutup kerana jemaah yang berkurangan), saya pergi belajar agama di Masjid Kampung Hulu (satu minggu 2 kali sahajaKetika inilah saya berpeluang meneliti kitab yang digunakan untuk pembacaan ini, iaitu kitab Kifayatul Muhtaj, susunan Syeikh Dawud al-Fathoni. Dengan harga kurang RM3, kitab ini mampu dimiliki, tetapi terpaksa menunggu tahun berikutnya untuk mengikuti pembacaan dengan penadahan kitab. Setelah berkhidmat di KUSZA sekitar 1990-an, saya mendapat maklumat kelemahan kitab yang menggunakan dalil hadisnya sebahagian daif. Tetapi sebahagian besar pengkisahan dalam kitab ini sama sebagaimana sumber lain yang tidak dipertikaikan. Lebih menarik pada nota keliling (hamisy) terdapat catatan mengenai kejadian alam semesta yang sebahagiannya merupakan petikan karya Syeikh Nurudin ar-Raniri (kurun 17 M). Terdapat petikan-petikan menarik mengenai ciri-ciri fizikal dan astrometri Bulan, Matahari, langit dan unsur-unsur alam semesta. Jika semasa membacanya kita terus membandingkan dengan maklumat semasa, pasti ada perkaitannya. Kecuali sebelum membacanya kita telah mempunyai prasangka negatif. Perkara yang sama juga berlaku dalam semua karya pra-pemodenan. Kata-kata Bung Hamka ini boleh menjadi haluan untuk kita mengkaji nilai yang wujud dalam naskhah dan karya yang sedemikian sifatnya: ‘... setiap membaca sejarah nenek moyang ia akan meninggalkan kesan yang mendalam bagi jiwa kita, apabila lagi bila dibaca dengan rasa cinta. Kian dibaca kian terbayanglah masa-masa yang lampau dan masa lampau meninggalkan kesan yang dalam untuk menghadapi zaman kini dan zaman depan ....’

Allahumma bariklana fii Sya’bana wa balighna Ramadhan .........

Thursday, June 30, 2011

Kita Bertemu Kembali ......

Assalamualaikum wr wb.,

Setelah membisu sekian lama, saya dapat selesaikan juga masalah kata kunci yang terlupa bagi blog ini.

InsyaAllah, saya akan menulis ..

Sunday, September 12, 2010

Ramadhan Mengawa Pecut

Assalamualaikum wr. wb. Selamat Menyambut Hari Raya dengan doa, ‘semoga Allah pertemukan lagi kita dengan Ramadhan tahun hadapan dengan keimanan yang berkekalan, kesihatan dan kemurahan rezki ..... ‘.

Sebagaimana dilaporkan, sebahagian besar negara Islam merayakan Aidil Fitri 1431H pada hari Jumaat bersamaan 10 Oktober 2010. Ada antara negara berkenaan, bulan Ramadhannya mengandungi 29 hari dan sebahagian lain 30 hari. Kedua-dua bilangan hari ini adalah cukup mengikut neraca Allah swt, sebagaimana firmanNya dalam al-Quran (1:185 – sebahagian), ‘ .... dan Dia tidak menghendakki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu mencukupkan bilangan puasa (satu bulan Ramadhan) serta kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur'. Ayat ini menjadi dalil kita menyambut hari raya selepas berpuasa satu bulan (sama ada 29 atau 30 hari). Manakala kaedah kita membesarkan Allah lanjutan tanda bersyukur kerana menyempurnakan ibadat puasa, antaranya dengan bertakbir..... Supaya tidak menimbulkan kekeliruan, maka lafaz takbir khusus ini dinamai takbir hari raya. Ya, lafaz takbir hari raya mengingatkan kita tentang kebesaran Allah, pengulangan tauhid kepada Allah swt serta memuji Allah swt kerana ihsanNya memberi pertolongan kepada hambaNya dan kekuasaan Allah swt juga yang menewaskan musuhNya dengan sendirinya atau dengan caranya. Ada yang menitik airmata kerana menghayati lafaz dan irama takbir ini yang mendayu-dayu ini mengikut versi irama Melayu. Walau bagaimanapun, para ulama telah mengingatkan tentang nilai air mata yang menitik ini. Jika disebabkan terkenang kampung halaman, mengimbau kenangan bersama sifulan dengan sifulan atau kekesalan tidak dapat beraya sakan, air mata ini tidak ada nilai. Biar bergantang air mata yang tubik, tak berguna walau seseng habuk .... Air mata yang bernilai adalah air mata yang menghayati kebesaran Allah, mengharapkan keredhaanNya, kesan bermuhasabah diri dan keralatan kerana gagal menepati petunjuk utama prestasi (KPI) Ramadhan 1431H.

Bulan Ramadhan yang dimulai dengan fasa hilal, berakhir dengan fasa hilal Syawal. Setakat blog ini ditulis (1 Syawal, jam 10 malam), Anak Bulan paling timur kelihatan di Negara Brunei Darussalam dan di Kuala Terengganu sendiri. [Menurut maklumat dalam laman sesawang ICOP, Anak Bulan juga kelihatan di beberapa bandar di Australia dan Marawi City, Selatan Filifina pada petang 9 Sept. 2010]. Walaupun keadaan cuaca di Kuala Terengganu tidak begitu baik, dengan awan setinggi 8 darjah. Tetapi Anak Bulan dengan fasa hampir 2 peratus ini telah kelihatan kira-kira jam 7.00 petang (12 minit sebelum Matahari terbenam) untuk beberapa saat dengan menggunakan teleskop ETX-70 mm. Walau bagaimanapun, ketika waktu Matahari terbenam, kedudukan Anak Bulan ini sudah memasukki awan tebal. Selepas Anak Bulan Syawal, saban bulan kita akan cuba menjejakki Anak-anak Bulan (ahilal), tetapi Anak Bulan Ramadhan paling dinanti-nantikan, kerana Ramadhan adalah penghulu segala bulan. Bulan Ramadhan dengan segala kebesarannya datang dan pergi membawa tanda kegembiraan. Pada pagi Rabu (29 Ramadhan) lepas, sebagai penghulu segala bulan, fasa Bulan sabit tua Ramadhan sempat mengerling di ufuk timur sambil membisikkan bait berikut ......

Insan! Ingatlah!
Aku tidak punya kebesaran,
Aku makhluk Allah jua,
Gerak aku umpama zikir alam kepada Pencipta,
Tugas aku hanya as-sabab kepada manusia.

Insan! Ingatlah!
Aku tinggalkan sebelas lagi anak buah ku,
Semua mereka pasti bertamu,
Jika kamu anggap aku penghulu,
Layanilah mereka sebagaimana ku.

Insan! Ingatlah!
Jika hadirku telah mentarbiahmu,
Tunjukkan akal budi mu bersama anak buahku.
Jika Allah mengikat kejahatan kerana kehadiranku,
Jadikannya kebiasaanmu.

Insan! Ingatlah!
Aku cuma melampiaskan waktu,
Bergerak pada laluan seperti dahulu,
Aku akan bertandang lagi,
Menjadi tetamu sebahagian kamu ...
Terdendeng lagi di ufuk barat tempatmu.

Tapi, Insan! Ingatlah!
Tidak semua dapat menyambutku,
Ada antara kamu akan pergi dahulu .......
Insan! Ingatlah!
Ingatlah, pesananku,
Aku pergi dahulu .....

Sekian coretan untuk pesanan diri sendiri, untuk anak-anakku dan kepada para pelajarku yang sejuk mata memandang ........ Ingat! Ingatlah!

Baharrudin Zainal
Villa Kamilah
Sepetir Rendang, Gong Badak,
Kuala Terengganu.
Hajrat: 3 Syawal 1431H/12 September 2010